suria

Perdagangan IMT-GT Dijangka Catat Pertumbuhan Tinggi Selepas AEC

LANGKAWI: Nilai perdagangan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang berjumlah lebih daripada US$600 juta pada akhir 2014, dijangka mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi dengan penubuhan Komuniti Ekonomi Asean (AEC).

"Kami percaya sektor pelancongan rantau kecil ini mempunyai potensi amat besar, jadi ini adalah bahagian yang kami akan tumpukan, bermula dengan meningkatkan hubungan," kata Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla pada sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak IMT-GT Ke-9, di sini, Selasa.

IMT-GT ialah inisiatif kerjasama sub-serantau yang ditubuhkan pada 1993 oleh kerajaan Indonesia, Malaysia, dan Thailand untuk mempercepatkan transformasi ekonomi di wilayah-wilayah kurang membangun.

Sidang Kemuncak IMT-GT, yang bermula selepas Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) Ke-11, diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak Asean Ke-26 yang baru berakhir.

Perbincangan berturut-turut setengah hari itu dilihat sebagai sangat penting kerana kedua-dua BIMP-EAGA dan IMT-GT telah menjadi platform bagi penyepaduan rantau kecil yang akan memberi sumbangan terus kepada pelaksanaan integrasi Asean.

Kedua-dua sidang kemuncak itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, Presiden Filipina Benigno S. Aquino III dan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-ocha.

Najib, pada sidang media lain hari ini berkata kedua-dua sidang kemuncak itu mengesahkan kepentingan kerjasama rantau kecil itu sebagai kerangka ke arah pelaksanaan Komuniti Asean pada 2015.

Sejak penubuhannya, IMT-GT telah berkembang dalam skop geografi dan aktiviti merangkumi lebih 70 juta penduduk.

Rantau kecil itu terletak di laluan kapal paling sibuk di dunia, Selat Melaka, dan terdiri dari 10 wilayah di Sumatra, Indonesia, lapan negeri di Semenanjung Malaysia dan 14 wilayah di selatan Thailand.

Asean ialah rakan dagang utama IMT-GT dengan kira-kira 30 peratus bahagian perdagangan terkumpul bagi tempoh 2008-2011 manakala rakan dagang utama lain ialah AS, Kesatuan Eropah, China dan Jepun.

IMT-GT, AEC, Asean, Jusuf Kalla, Langkawi

Artikel Lain