Bajet Defisit Sasaran Malaysia Boleh Dicapai Menerusi GST

Diterbitkan: Selasa, 28 April 2015 9:35 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran bajet defisit sebanyak 3.2 peratus tahun ini hasil pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang meluas, dan memberi kesan minimum ke atas sasaran tersebut.

GST berasaskan pengguna ini dijangka akan meluaskan serta membantu menambah hasil kerajaan dalam jangka panjang, kata Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dalam laporan tahunan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2014 yang dikeluarkan hari ini.

Pelaksanaan GST menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dimansuhkan menyebabkan kekurangan hasil kerajaan sebanyak RM13.8 bilion.

"Dengan jangkaan kehilangan hasil daripada barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai itu, kutipan kasar hasil cukai GST hanya berjumlah RM5.6 bilion selepas ditolak kutipan yang dianggarkan boleh diperoleh daripada SST dan senarai barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai," kata Pemandu.

Mengenai bajet defisit, kerajaan telah mencapai sasaran pengukuhan fiskal terbesar melalui mekanisme penetapan harga minyak secara apungan terkawal bagi petrol RON95 dan diesel.

Subsidi yang masih kekal ialah super subsidi bagi pengangkutan awam dan industri terpilih, termasuk perikanan dan bot di sungai bagi kawasan pedalaman.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa kejatuhan harga minyak mentah dunia yang mendadak dan hanya stabil sekitar AS$50 pada Disember 2014, ditambah dengan kesan musibah banjir yang melanda negara pada tahun lepas, menyebabkan kerajaan menyemak semula Bajet 2015.

Mengulas mengenai pembaharuan kewangan awam menerusi Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI), kerajaan memperoleh pendapatan tambahan daripada cukai tidak langsung bernilai RM159.64 juta tahun lepas berbanding sasaran awal RM110 juta, manakala nilai kutipan cukai langsung mencecah RM1.990 bilion berbanding sasaran Petunjuk Prestasi Utama berjumlah RM1.795 bilion.

Namun bagi perakaunan akruan, kerajaan hanya berjaya mencapai 81.3 peratus daripada pelaksanaan aktiviti perakaunan akruan pada tahun 2014 berbanding sasaran awal sebanyak 100 peratus.

Oleh itu, kerajaan telah menunda tarikh sasaran bagi pelaksanaan perakaunan akruan ke Januari 2016 berbanding Januari 2015 disebabkan oleh ketidakupayaan firma pembekal bagi pembangunan sistem untuk memenuhi tarikh pelaksanaan yang ditetapkan. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: bajet defisit , GST , ETP

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan