MNRB Sasar Tingkat Portfolio Insurans Semula Luar Negara

Diterbitkan: Ahad, 26 April 2015 1:08 PM

Mohd Din Merican

(Ubah saiz teks)

SIBU: MNRB Holdings Bhd kini dalam peringkat perancangan serta menyusun semula strategi perniagaan insurans semula bagi mengimbangi semula portfolionya dengan mengkaji kemungkinan meluaskan segmen itu ke luar negara, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Din Merican.

Anak-anak syarikat milik penuh MNRB termasuk Reinsurance Bhd (Malaysian Re), Takaful Ikhlas Bhd, MNRB Retakaful Bhd (MRT) dan Malaysian Re (Dubai) Ltd.

Mohd Din berkata, Malaysia kini menguasai kira-kira 65 peratus pasaran dan penyumbang terbesar kumpulan, diikuti Takaful Ikhlas.

"Menerusi nisbah portfolio semasa bagi perniagaan tempatan dan luar negara pada 60:40, kami mahu mengimbanginya dengan meningkatkan portfolio luar negara kepada nisbah 50:50," katanya dalam temu bual dengan Bernama dan Utusan Malaysia sempena Minggu Unit Amanah Malaysia 2015 (MSAM).

Beliau berkata, perniagaan kumpulan itu membabitkan pengurusan risiko, dan antara isu yang dihadapi oleh kumpulan itu melibatkan bakat, terutama dalam insurans semula.

Dengan menyebut aktuari bertauliah sebagai antara bakat yang terhad, beliau berkata kumpulan itu telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menggalakkan pekerja sedia ada meningkatkan kelayakan daripada ijazah kepada pensijilan profesional.

Mohd Din berkata, tanggungjawab sosial korporat syarikat itu juga berfokuskan kepada pendidikan bagi mengembangkan kumpulan bakat.

MNRB menawarkan biasiswa kepada pelajar sejak 1998, terutama dalam bidang berkaitan perniagaannnya seperti insurans dan pengurusan risiko, katanya.

Mengenai penyertaan syarikat itu pada MSAM 2015, Mohd Din berkata tahun ini merupakan penyertaan kali ke-15 dalam karnival mega itu dan sejak awal lagi program syarikat menjurus kepada usaha memberi pendedahan dan pendidikan kepada pelajar mengenai pentingnya pelaburan.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan