suria

Pasaran Produk Kels International Semakin Berkembang

KOTA BARU: Kels International Sdn Bhd, pengeluar produk makanan kesihatan dan kosmetik, menyasarkan nilai jualan sebanyak RM20 juta tahun ini berbanding RM6.8 juta yang dicapai tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Datuk Dr Mohd Asri Mejah berkata, sasaran itu disandarkan ke atas 58 produk, termasuk dua produk baharu yang dilancarkan malam tadi yang akan dipasarkan oleh 10,368 usahawan Bumiputera di seluruh negara.

"Selain pasaran tempatan, produk kami ini telah memasuki pasaran di Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian konvensyen Kels Ke-3 2015 oleh pengerusi syarikat itu Yusmat Mamat di sini malam Sabtu.

Dua produk baharu itu ialah 'The One' makanan kesihatan untuk lelaki manakala 'The Touch' makanan kesihatan untuk wanita.

Pada 2013, syarikat berkenaan mencatat nilai jualan sebanyak RM1.3 juta.

Dr Mohd Asri berkata kesemua produk yang menggunakan kira-kira 80 peratus bahan tempatan termasuk herba, dihasilkan di dua kilang milik syarikat itu di Pengkalan Chepa di sini.

"Kesemua produk yang dikeluarkan oleh syarikat kami mendapat sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia selain mendapat bimbingan Sirim Berhad," katanya.

Beliau berkata syarikat itu telah menubuhkan Akademi Kecemerlangan Kels bagi melaksanakan program pembangunan keusahawanan kepada usahawan syarikat  tersebut, termasuk mengenai kaedah pemasaran berkesan. -- Bernama

Artikel Lain