suria

MIDF Luluskan RM3.6 Bilion Pinjaman Untuk Syarikat Tempatan

SIBU: Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), cabang pelaburan Permodalan Nasional Bhd (PNB), meluluskan RM3.6 bilion pinjaman mudah kerajaan yang diuruskannya setakat 31 Mac 2015.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Mohd Najib Abdullah berkata pinjaman berkenaan memberi manfaat kepada 3,259 syarikat tempatan.

"Daripada jumlah itu, RM190.57 juta diluluskan kepada 230 syarikat di Sarawak," katanya ketika berucap pada majlis Simposium Usahawan MIDF yang berlangsung sempena Minggu Amanah Saham Malaysia 2015 (MSAM 2015), di sini, Sabtu.

Simposium berkenaan dirasmikan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri  (Pembangunan Usahawan) merangkap Menteri Muda Perancangan Sumber Sarawak Datuk Mohd Naroden Majais.

MIDF yang ditubuhkan 55 tahun lepas, merupakan institusi kewangan pembangunan pertama di Malaysia bagi memajukan ekonomi Malaysia dengan menyediakan pinjaman jangka sederhana dan panjang kepada syarikat tempatan.

Kini, ia telah berkembang menjadi institusi kewangan bersepadu yang menawarkan tiga teras perniagaan iaitu perbankan pelaburan melalui MIDF Amanah Investment Bank Bhd, kewangan pembangunan melalui Divisyen Kewangan Pembangunan serta pengurusan aset melalui MIDF Amanah Asset Management Bhd.

"MIDF akan terus memain peranan bagi memastikan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (IKS) berada pada tahap kompetitif untuk bersaing di peringkat global.

Melalui MIDF Investment, mereka akan dibantu sehingga ke tahap bersedia untuk disenarai di Bursa Malaysia," kata Mohd Najib.

Sementara itu, PNB dalam satu kenyataan berkata Simposium Usahawan MIDF itu merupakan sebahagian daripada program MSAM 2015 bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai budaya keusahawanan dalam kalangan usahawan Sarawak.

Sejumlah 700 usahawan IKS dari Sibu, Sarikei, Mukah, Julau dan daerah berhampiran menyertainya.

MSAM 2015 yang berlangsung sejak 19 April, berakhir Isnin ini.-- Bernama 



MIDF, PNB, Mohd Najib Abdullah

Artikel Lain