suria

Malaysia Mampu Kuasai Tiga Peratus Pasaran Tayar Celup Dunia Menjelang 2020

Pengurus Kanan Jabatan Pensijilan Produk dan Pemeriksaan, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), QAS International Sdn Bhd, Basori Selamat menyampaikan sijil MS224 kepada Pengarah Urusan Kumpulan SRIT Low Kian Beng sempena Majlis Pensijilan Produk Sun Rubber Industry Sdn Bhd di sini, Selasa. Turut hadir Presiden Lembaga Getah Malaysia Datuk Ahmad Hamzah dan Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia Datuk Dr Salmiah Ahmad (kanan).

SEREMBAN: Malaysia dijangka mampu menguasai tiga peratus pasaran tayar celup global yang diunjur bernilai RM6.8 bilion menjelang 2020, disokong oleh permintaan yang terus meningkat.

Pengerusi Lembaga Getah Malaysia, Datuk Ahmad Hamzah berkata, pada masa ini Malaysia hanya menguasai dua peratus pasaran tayar celup dunia.

"Pada 2013, pasaran dunia bagi tayar celup dan bahan berkaitan bernilai RM3.05 bilion.

"Sejak lima tahun lalu, permintaan tayar celup di dunia terutama untuk kegunaan komersial, meningkat sebanyak 8.6 peratus," katanya kepada wakil media selepas merasmikan Majlis Pensijilan Produk dan Pelancaran Kilang Sun Rubber Industry Sdn Bhd, di sini, Selasa.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Sunrich Integrated Industries Sdn Bhd (SRIT) Low Kian Beng dan Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia Datuk Dr Salmiah Ahmad.

Sementara itu, Kian Beng berkata, tahun lepas, Sun Tyre Industries Sdn Bhd iaitu anak syarikat SRIT, menjadi syarikat pengeluaran tayar celup pertama negara memperoleh persijilan MS224:2005 kerana menepati piawaian dan spesifikasi teknikal pembuatan tayar celup.

"Ini bermakna tayar keluaran syarikat ini iaitu Suntex, selamat digunakan kenderaan di jalan raya dan menjimatkan wang kerana harganya yang murah berbanding tayar biasa," katanya.

Berkenaan pembinaan kilang bernilai RM20 juta di Senawang yang beroperasi Mac lalu, beliau berharap kilang itu mampu membantu memenuhi permintaan tayar celup negara dan dunia.-- Bernama

Artikel Lain