suria

Petronas Sampaikan Anugerah Vendor Cemerlang Kepada 23 Firma

KUALA LUMPUR: Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), cabang perniagaan huluan Petronas, menyampaikan Anugerah Vendor Cemerlang (OVA) kepada 23 syarikat perkhidmatan minyak dan gas tempatan serta antarabangsa, sebagai pengiktirafan prestasi dan penyerahan cemerlang mereka bagi 2014.

OVA mengiktiraf 15 kategori dengan penekanan kepada prestasi boleh diteladani, kebolehpercayaan, keresponsifan serta komitmen untuk melaksanakan standard tinggi dalam kesihatan, keselamatan dan pembangunan (HSE).

Presiden PCSB, Datuk Mohd Anuar Taib berkata, serahan syarikat tumbuh secara signifikan dari segi angka dan kekompleksan.

"Sehubungan itu, penjajaran semula jangkaan selain membina hubungan perniagaan yang saling memberi manfaat antara Petronas dan kontraktornya amat penting bagi menghadapi perubahan yang berlaku baru-baru ini dalam persekitaran perniagaan minyak dan gas," katanya dalam kenyataan, Selasa.

Acara tahunan yang bermula pada 2010 itu juga berperanan sebagai saluran untuk Petronas berkongsi jangkaan perniagaan dan terbabit dalam dialog dengan kontraktornya.

Sementara itu, Mohd Anuar yang juga Naib Presiden Upstream Malaysia, berkata bagi mengurangkan impak kejatuhan harga minyak, PCSB melaksanakan pendekatan strategik dalam menjalankan perniagaan termasuk pengeluaran dengan kos minimum; operasi dan penggerudian yang berhemat; logistik bersepadu serta mempromosi inovasi dan kolaborasi.

Beliau menggesa kontraktor agar kekal berdaya tahan dan serba boleh.

"Saya yakin Petronas bersama-sama kontraktornya dapat menghadapi cabaran industri dan berupaya menyerahkan lebih banyak projek berpatutan secara selamat dan cekap," kata Mohd Anuar.-- Bernama

Artikel Lain