suria

Malaysia Berjaya Tetapkan Harga Sukuk Global Bernilai AS$1.5 Bilion - MOF

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya menetapkan harga bagi Sijil Amanah (Sukuk) AS$1 bilion penanda aras bertempoh matang 10 tahun dan AS$500 juta bertempoh 30 tahun, dengan jumlah saiz keseluruhan bernilai AS$1.5 bilion.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, terbitan Sukuk bertempoh matang 30 tahun itu merupakan terbitan Sukuk yang mempunyai tempoh matang terpanjang dalam sejarah sesebuah kerajaan.

Transaksi itu terlebih langgan, dan menarik minat pelabur dengan langganan melebihi AS$9 bilion daripada jumlah keseluruhan pelabur yang melebihi 450 akaun, katanya.

Suku bertempoh matang 10 tahun itu terlebih langgan hampir tujuh kali dan sukuk bertempoh matang 30 tahun pula terlebih langgan hampir enam kali.

Sukuk tersebut diterbitkan menerusi syarikat bertujuan khas, Malaysia Sovereign Sukuk Bhd, dengan menggunakan struktur berlandaskan komoditi patuh Syariah, aset pajakan dan aset bukan fizikal yang menjana pendapatan (dalam bentuk hak ke atas penglibatan dalam pemberian perkhidmatan), negara pertama yang menerbitkan sukuk seumpamanya.

Kementerian itu berkata terbitan itu merupakan Sukuk dalam denominasi dolar US yang keempat bagi Kerajaan Malaysia berikutan kejayaan penerbitan Sukuk global pada 2002, 2010 dan 2011.

Hasil daripada terbitan Sukuk ini akan digunakan oleh Kerajaan Malaysia untuk kegunaan am yang patuh Syariah, khususnya untuk penebusan Sijil Amanah 1Malaysia Sukuk Global Berhad berjumlah AS$1.25 bilion yang akan matang pada Jun 2015 serta bagi membiayai perbelanjaan pembangunan.

"Kami bangga dengan pencapaian sebagai negara pertama yang memperkenal struktur Sukuk ini kepada pasaran kewangan Islam yang pesat berkembang. Kami amat berpuas hati terhadap kejayaan transaksi ini serta keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kedudukan kredit Malaysia," kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Sukuk bahagian 10 tahun diperuntukkan kepada pelabur di Timur Tengah (24 peratus), Asia (50 peratus), Eropah (16 peratus) dan Amerika Syarikat (10 peratus), manakala bahagian 30 tahun diperuntukkan kepada pelabur di Timur Tengah (2 peratus), Asia (50 peratus), Eropah (19 peratus) dan Amerika Syarikat  (29 peratus).

Transaksi itu berjaya ditetapkan pada tahap terendah dalam julat panduan harga yang disemak semula, yang mencerminkan keyakinan pelabur terhadap  kedudukan sektor luar Malaysia yang kukuh, kewangan yang fleksibel, kedudukan fiskal yang kukuh serta ekonomi Malaysia yang pelbagai dan berdaya saing.

Sukuk ini dijangka diberikan penarafan kredit A- oleh Standard and Poors Ratings Services dan A3 oleh Moodys Investors Services Limited.

Penetapan harga transaksi ini berjaya dilaksanakan setelah siri jelajah mempromosi Sukuk di peringkat global, merentas pusat kewangan utama yang meliputi Kuala Lumpur, Hong Kong, Singapura, Abu Dhabi, Dubai, London dan New York.

CIMB Investment Bank Bhd, Hongkong and Shanghai Banking Corporation Limited dan Standard Chartered Bank merupakan pengurus bersama dan pengurus utama bersama bagi terbitan sukuk ini.-- Bernama

Artikel Lain