suria

Avon Optimis GST Beri Kesan Positif Terhadap Pertumbuhan Perolehan

Barisan selebriti bergambar bersama koleksi Calissa yang merupakan produk Avon Home sempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri di sini, Rabu. Koleksi Calissa yang terdiri daripada barangan hiasan dalaman rumah seperti langsir, alas meja dan pinggan mangkuk akan berada di pasaran bermula 16 Mei ini.

KUALA LUMPUR: Syarikat jualan langsung, Avon Malaysia, optimis pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan memberikan kesan positif terhadap pertumbuhan perolehannya.

Ketua Pemasaran Komersil Avon Malaysia, Aspalin Sirat berkata, sistem percukaian itu memberi kelebihan kepada syarikatnya apabila dapat menggunakan pelbagai strategi pemasaran, kewangan dan pentadbiran yang dinamik.

"Dalam menghadapi GST, kita telah menganjurkan latihan kepada semua kakitangan Avon supaya faham dan yakin terhadap konsep sistem GST agar aktiviti jualan dapat berjalan lancar.

"Kita juga menggunakan dua pendekatan iaitu komunikasi melalui media sosial dan secara terus melalui butik Avon kepada pelanggan mengenai GST dan cara Avon menangani harga barang," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya melalui medium komunikasi itu, Avon yakin dapat memberikan pendedahan dan pengetahuan secara lebih mendalam mengenai GST dan menjelaskan kepada pengguna bahawa kebanyakan harga produk yang ditawarkan sudah termasuk caj GST.

"Pelanggan tidak perlu risau kerana kebiasaannya harga barangan Avon ditawarkan dengan potongan 10 hingga 50 peratus," katanya.

Aspalin berkata, Avon masih mengekalkan harga barangan popular pelanggan atau yang mempunyai permintaan tinggi seperti celak dan beberapa barangan kosmetik lain.

Sementara itu, katanya Avon mengunjurkan pertumbuhan keuntungan tahun ini walaupun keadaan ekonomi tidak menentu, menerusi penawaran pelbagai rangkaian produk utamanya - kosmetik dan beberapa produk sampingan.

Avon memasarkan barangannya melalui lebih enam juta Wakil Avon yang aktif di seluruh dunia, dan barangannya boleh didapati di 100 negara, merangkumi koleksi kosmetik, penjagaan kulit, haruman dan fesyen serta barangan hiasan rumah melalui jenama terkenal seperti Avon Color, Simply Pretty, Anew, Skin-So-Soft, Rangkaian haruman, Avon Naturals, Avon Intimates, Avon Jewellery dan Avon wellness.

Aspalin berkata sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, Avon memperkenal koleksi dekorasi kediaman - Koleksi Calissa - yang akan berada di pasaran bermula 16 Mei ini.

Selain itu, Avon juga akan melancarkan kutipan derma 'Jalinan Kasih' di 190 butik Avon seluruh Malaysia bertujuan membantu keluarga yang kurang bernasib baik dalam menyediakan persiapan sambutan hari raya mereka supaya lebih bermakna.

"Bermula 1 hingga 30 Jun ini setiap barangan yang dibeli, RM0.50 akan disalurkan kepada tabung tersebut," katanya.

"Avon menyasarkan RM50,000 hasil daripada kutipannya dan akan disalurkan kepada 50 keluarga dalam bentuk wang tunai dan kelengkapan diri dan rumah," tambah Aspalin.

Untuk maklumat lanjut mengenai program itu, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol Avon di 1-800-22-Avon (2866) atau layari http://www.my.avon.com.-- Bernama







Avon Malaysia, GST, Aspalin Sirat

Artikel Berikut

Artikel Lain