suria

MRCB Kemuka Tender Beli Tanah Kedutaan Perancis

PETALING JAYA: Pemaju hartanah Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) mengesahkan ia mengemukakan tender bagi pengambilalihan tanah Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur.

Ia sekali gus mengesahkan laporan StarBiz pada Isnin lalu mengenai maklumat yang memetik sumber bahawa kemungkinan tawaran itu bernilai RM1.1 bilion.

MRCB dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia pada Isnin lalu berkata, syarikat itu mengemukakan tender pada 12 Februari lalu untuk tender bagi pengambilalihan tanah Kedutaan Perancis dan kini sedang menunggu keputusan tender berkenaan.

"Kami akan membuat pengumuman kepada Bursa Malaysia mengikut keperluan penyenaraian, dan apabila diperlukan," katanya. 

Menurut laporan, timbul spekulasi MRCB mendahului pihak lain dalam tender pengambilalihan tanah Kedutaan Perancis yang merupakan antara baki tanah di pusat bandar.

Menurut sumber, MRCB mempunyai tawaran terbaik terhadap tanah berkeluasan 3.19 hektar itu, menerusi satu pembukaan tender yang kompetitif.

Jika MRCB menang dalam tender seperti yang dijangkakan, ia akan membeli sebidang tanah yang kedua di pusat bandar, seminggu selepas pengumuman ia membeli tanah Kedutaan Jerman berkeluasan 0.73 hektar di Jalan Kia Peng.

Tanah Kedutaan Perancis, meliputi dua bidang tanah, dengan kombinasi 3.92 hektar di Jalan Ampang yang dikatakan untuk dijual pada kira-kira RM3,188 kaki persegi.

MRCB, Bursa Malaysia

Artikel Lain