Najib Lancar Bank Of China Sebagai Bank Penjelasan Renminbi

Diterbitkan: Selasa, 14 April 2015 11:45 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa melancarkan Bank of China sebagai bank penjelasan renminbi di Kuala Lumpur bagi memudah dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan di negara ini.

Malaysia adalah negara kedua selepas Singapura dalam ASEAN menubuhkan bank penjelasan renminbi dengan China.

Najib berkata, penubuhan bank penjelasan renminbi itu adalah hasil perbincangan beliau dengan Presiden China, Xi Jinping Mei lepas.

"Ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan dua hala di antara Malaysia dan China dan kerjasama ini akan memudahkan lebih banyak dagangan dalam renminbi dan meningkatkan status Malaysia sebagai hab kewangan ASEAN," katanya.

Menurut Najib, Bank of China, kini bank ketujuh terbesar di dunia di segi saiz aset, akan menawarkan Malaysia akses langsung kepada pasaran kewangan China dan sumber untuk memperoleh serta melabur lebihan dana renminbi pada kadar kompetitif.

"Bank penjelasan baharu ini adalah satu inisiatif kewangan penting yang akan meningkatkan lagi hubungan kita. Ia akan menyokong peningkatan hubungan dua hala dan pelaburan, menggalak penggunaan mata wang tempatan dan membawa faedah bersama untuk setiap orang di rantau ini," katanya.

Mengulas lebih lanjut, Perdana Menteri berkata, bank penjelasan itu akan mengurangkan risiko kecairan, menggalakkan pertumbuhan perkhidmatan kewangan premium di kedua-dua negara serta menggalakkan lagi pemudahan perdagangan dan pelaburan.

"Ketika ini pertukaran asing renminbi berada pada RMB3.5 bilion sehari.

Ia semakin diiktiraf sebagai mata wang penyelesaian perdagangan global utama.

Penubuhan bank penjelasan ini memang tepat pada masanya," katanya.

Sebelum perjanjian itu, pertukaran ringgit kepada yuan perlu terlebih dulu ditukar kepada dolar AS dan kemudiannya kepada yuan, juga dikenali sebagai renminbi atau RMB.

Dengan adanya bank penjelasan itu di Malaysia, ringgit secara terus boleh ditukar kepada yuan dan dengan itu mengurangkan kos transaksi.

Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, kata Najib, mata wang yang stabil dan diiktiraf di peringkat antarabangsa adalah penting untuk memudah dan meningkatkan aktiviti perdagangan dan pelaburan dalam usaha mewujudkan Komuniti Ekonomi ASEAN.

"Berikutan ASEAN adalah satu daripada rakan kongsi perdagangan terbesar China, renminbi mempunyai peranan penting untuk dimainkan dan kita menjangka Malaysia akan menjadi pusat penjelasan luar pesisir utama Renminbi bagi memudahkan penyelesaian perdagangan langsung di rantau ini.

"Ini akan mengurangkan kos transaksi secara drastik dan memanfaatkan China dan ASEAN," katanya.

Mengenai hubungan bersejarah Malaysia-China, Perdana Menteri berkata, kerjasama perdagangan terus meningkat dalam projek dilaksanakan China di negara ini, termasuk penubuhan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China.

Tahun lepas, pelaburan langsung asing dari China dalam sektor pengeluaran di Malaysia berjumlah RM4.8 bilion.

Rumah penjelasan renminbi itu adalah yang terbaru dalam beberapa tindakan yang dilaksanakan kedua-dua negara bagi meningkatkan perdagangan yang telah berkembang lebih 10 kali ganda sejak 2000 dan melepasi US$100 bilion (RM332.85 bilion) pada 2013.

China adalah rakan kongsi perdagangan terbesar Malaysia dan Malaysia adalah rakan kongsi terbesar China dalam ASEAN.

Pada Mei tahun lepas, semasa ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara, Malaysia dan China bersetuju bekerjasama ke arah mencapai sasaran perdagangan dua hala berjumlah US$160 bilion (RM532.56 bilion) menjelang 2017.

Tags / Kata Kunci: Bank Of China , Najib Tun Razak

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan