suria

KWSP Jual Hartanah Pertama Di UK Untuk 210 Juta Pound

One Sheldon Square

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan telah memetrai perjanjian jual beli dengan British Land untuk menjual One Sheldon Square di London pada harga 210 juta pound.

KWSP memperoleh hartanah tersebut pada 2010 dan ini merupakan penjualan hartanah pertama KWSP di United Kingdom, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, One Sheldon Square terdiri daripada hampir 200,000 kaki persegi ruang pejabat merangkumi sembilan tingkat dan telah disewakan sepenuhnya kepada Visa Europe Services sehingga Disember 2022.

KWSP berkata, British Land memenangi bidaan itu melalui proses tender terbuka yang berdasarkan tadbir urus korporat yang ketat, termasuk mengikut amalan industri.

Katanya, KWSP mempunyai pelaburan hartanah yang ketara di United Kingdom dan pasaran utama lain seperti di Jerman, Perancis, Australia dan Jepun.

"KWSP akan terus mempelbagaikan pelaburan merangkumi pelbagai pasaran, sektor dan kelas aset untuk memberikan pulangan yang optimum dan mampan dalam jangka panjang," katanya.-- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain