suria

Naza Premira Sasar Vespa Sprint Subang 20 Peratus Jualan

KUALA LUMPUR: NAZA Premira Sdn Bhd, pengimport tunggal  rasmi skuter Vespa di Malaysia, menjangka Vespa Sprint yang baharu, dapat menyumbang 20 peratus kepada jumlah jualannya tahun ini.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NAZA World Group of Companies Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin berkata syarikat juga yakin dapat mencatatkan pertumbuhan 100 peratus dalam jumlah jualan tahun ini berbanding 2014.

"Vespa Sprint merupakan model penting bagi Piaggio, pengeluar skuter dan NAZA Premira kerana ia merangkumi unsur-unsur teras jenama Vespa selama lebih setengah abad di samping menjadi duta Vespa baharu kelas teknologi terkemuka," katanya.

Vespa Sprint berharga RM13,888 (tidak termasuk 6.0 peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan) dengan dua tahun jaminan pengeluar atau 20,000 kilometer, yang mana dahulu.

Model berkenaan boleh didapati dalam enam warna menarik: Montebianco (putih), Rosso Dragon (merah), Grigio Titanio (kelabu), Blu Midnight (biru gelap), kuning dan jingga.

Faisal berkata pada masa ini Vespa Malaysia mempunyai 25 pengedar sah di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

"Bagi mengukuhkan kedudukan jenama dalam negara, kami menyasar untuk menambah lima pengedar lagi untuk menjadikan jumlah rangkaian pengedar kepada 30 di seluruh Malaysia.

"Kami mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat menyertai rangkaian  pengedar Vespa di Malaysia," katanya.

Vespa, Naza

Artikel Lain