suria

Dua Projek Usaha Sama KWSP Masih Berjalan, Kata CEO

KUALA LUMPUR: Dua projek usaha sama (JV) domestik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu Bukit Bintang City Centre (BBCC) dan pembangunan aset logistik dengan Goodman Group masih diteruskan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata beliau menjangka arahan pembangunan bagi projek BBCC akan dikemukakan dan diluluskan tahun ini.

"Apabila diluluskan, JV boleh meneruskan pelancaran projek dan kerja-kerja pembinaannya tahun depan," kata Shahril pada taklimat media di sini, Jumaat bersempena dengan penerbitan Laporan Tahunan 2014 KWSP.

Projek BBCC adalah JV dengan UDA Holdings Bhd dan pembangunan aset logistik merupakan JV dengan Goodman Group.

Mengenai pelaburan luar negara KWSP, Shahril berkata, kumpulan itu kini  berbincang untuk melepaskan pegangan satu atau dua aset hartanah di UK.

"Mungkin kini masa yang baik untuk mula meninjau peluang penjualan bagi meraih faedah," katanya.

Shahril, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain