suria

Shell Lahirkan Keyakinan Pada Malaysia

KUALA LUMPUR: Shell Malaysia melahirkan keyakinan berterusan pada negara ini sebagai pasaran penting kepada syarikat itu, dan  menyatakan ia negara paling berjaya bagi cari gali Shell Group.

Pengerusinya, Iain Lo berkata, walaupun lanskap ekonomi global mencabar dan harga minyak mentah yang rendah pada masa sekarang, syarikat itu berjaya melaksanakan dan menyertai 10 penemuan, semasa rancangan cari galinya daripada pertengahan 2013 hingga 2014.

"Operasi gas kami di Sarawak membekal gas kepada loji gas-ke-cecair (GTL) dan kami mengeluarkan lilin gred tinggi terbersih di dunia yang dieksport kepada lebih 50 buah negara di seluruh dunia.

"Rangkaian lilin khusus dari operasi di Sarawak kami adalah komponen utama dalam pelekat, daripada gincu sehingga dakwat toner," katanya dalam ucapannya ketika merasmikan pejabat baharu Shell Malaysia di Menara Shell, di sini, Khamis.

Shell, pada masa ini, sedang membangunkan usaha laut dalam keduanya bagi lapangan minyak Malikai, 100 kilometer di luar pesisir Sabah, Malaysia.

Lo berkata, pembangunan Malikai akan memerlukan 17 telaga yang digerudi pada kemudahan pengeluaran 'Tension Leg Platform' (TLP) 23,500 tan, dan ia merupakan yang pertama direka dan dipasang di Malaysia.

"Shell beroperasi di Malaysia sejak 120 tahun yang lalu dan masih banyak peluang untuk syarikat menyumbang kepada negara.

"Pelaburan, inovasi, dan sumbangan kami kepada setempat terus menyokong aspirasi negara untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi," tambahnya.

Menara Shell merupakan pejabat Shell pertama di Asia Pasific yang akan melaksanakan panduan dan prinsip rekabentuk baharu bagi rekabentuk dan pelan tempat kerja mengikut program "Connect" Shell Group.

Program itu menyatukan kesemua amalan terbaik jabatan hartanah, sumber manusia, dan teknologi maklumat Shell untuk dijalinkan dengan kakitangan, tempat dan teknologi bagi menyediakan tempat kerja yang penuh semangat, bertenaga, menarik serta produktif.-- Bernama

Shell Malaysia, Iain Lo, GTL

Artikel Lain