suria

130 Syarikat Beroperasi Di Taman Industri Halal

Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR: Sebanyak 130 syarikat telah beroperasi di taman industri halal setakat ini dengan jumlah pelaburan mencecah RM8.5 bilion, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, taman industri halal itu telah mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan dalam pelbagai industri antaranya pemprosesan makanan, kosmetik, ramuan, farmaseutikal dan ternakan.

"Terdapat 21 taman industri halal seluruh negara di mana 19 daripadanya berada di bawah seliaan agensi kerajaan pusat serta kerajaan negeri manakala dua lagi adalah milik swasta," katanya di dalam jawapan bertulis kepada Su Keong Siong (DAP-Ipoh Timur).

Keong Siong meminta kerajaan menyatakan jumlah hab halal serta kejayaan hab halal yang telah beroperasi termasuk jenis industri yang diceburi.

Tambah Mustafa, sebanyak 13 taman industri halal telah menerima pengiktirafan sijil Halmas daripada Halal Industry Development Corporation (HDC) bagi melayakkan pengendali taman industri halal, peserta industri dan pengendali logistik menikmati insentif serta galakan cukai.

Pembangunan taman industri halal di Malaysia adalah di bawah pemantauan HDC bertujuan menyedia dan memudahkan pelabur mendapatkan status Halmas.

Status Halmas merupakan satu lambang kecemerlangan untuk taman industri halal yang mempunyai kualiti dalam pengeluaran produk halal yang berintegriti, berkualiti tinggi dan selamat.-- Bernama


Taman Industri Halal, Halmas, Miti

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain