suria

Geran RM43.15 Juta Untuk Usahawan Belia Luar Bandar

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM43.15 juta telah diperuntukkan sebagai geran kepada 54 usahawan belia yang telah memenangi pertandingan Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) dalam tempoh tiga tahun sejak 2012.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM8.5 juta telah diberi kepada 11 pemenang pada 2012, RM17.65 juta diberi kepada 20 pemenang 2013 dan RM17 juta bagi 23 pemenang 2014.

"Geran ini akan digunakan bagi membiayai pelaksanaan projek pemenang untuk mengembangkan perniagaan sedia ada di bawah seliaan pihak kementerian," katanya semasa menjawab soalan lisan Dr Mansor Abd Rahman (BN-Sik) di persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Dr Mansor bertanyakan mengenai inisiatif kepada golongan belia luar bandar melalui pertandingan RBC serta jumlah usahawan belia yang telah dilahirkan.

Pertandingan RBC telah membantu memperkasakan sektor keusahawan belia di luar bandar dengan meningkatkan pendapatan sedia ada, di samping membuka peluang-peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat setempat dan usahawan tempatan.

Melalui pertandingan RBC, usahawan belia yang berdaya maju dan menguntungkan akan dipilih untuk menerima geran perniagaan bagi membangunkan perniagaan di kawasan luar bandar.

Shafie berkata sambutan terhadap pertandingan RBC telah meningkat daripada 247 penyertaan pada 2013 kepada 771 penyertaan tahun berikutnya, peningkatan 212 peratus.

Beliau turut menjangka penyertaan bagi pertandingan itu akan terus meningkat setelah pelbagai aktiviti promosi dan publisiti dibuat termasuk Program Realiti Televisyen RBC yang telah mencapai sehingga 811,000 capaian. 

Usahawan, Belia

Artikel Lain