suria

TPM Biotech Sasar Pendapatan AS$1.5 Juta Susulan Kerjasama Arman Muslim Food

KUALA LUMPUR: TPM Biotech Sdn Bhd (TPM Biotech) menyasar untuk menjana pendapatan AS$1.5 juta (AS$1 = RM3.66) tahun ini susulan kerjasamanya dengan Arman Muslim Foods Industrial Group of Xinjiang Ltd bagi menyediakan kepakaran dan perkhidmatan analisis serta persijilan halal kepada syarikat China berkenaan.

Arman merupakan pengeluar dan peruncit produk makanan Muslim utama China manakala TPM Biotech adalah anak syarikat milik penuh Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM).

Ketua Pegawai Eksekutif TPM Biotech Ahmad Husni Johari berkata syarikat itu akan menawarkan kepakaran dan perkhidmatan Makmal Sains Halal berteknologi canggih kepada penggiat industri makanan, produk dan perkhidmatan Muslim.

"Ia juga merupakan strategi menang menang kepada kedua-dua syarikat untuk menembusi lagi pasaran global.

"Walaupun China sangat maju dalam ekonominya, namun ia masih memerlukan bantuan bagi sesetengah bidang seperti dalam produk halal," katanya kepada Bernama selepas menandatangani perjanjian kerjasama antara dua syarikat itu di sini, Isnin.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM Datuk Azman Shahidin.

Ahmad Husni berkata, mengikut perjanjian setahun itu, TPM Biotech akan menyediakan kajian kebolehlaksanaan dan latihan dalam perniagaan produk halal kepada Arman dan kumpulan syarikatnya.

Arman Muslim Foods Industrial Group yang ditubuhkan pada 1995 mempunyai pasaraya di Urumqi, ibu kota Xinjiang, dan turut mengedarkan produknya kepada lebih 2,700 kedai rangkaian francais Arman dan lebih 10,000 kedai di seluruh wilayah Xinjiang.

Sementara itu, Azman berkata kerjasama itu hanya bagi peringkat awal dan sekiranya semua berjalan dengan baik, kedua-dua syarikat kemudiannya akan menjalinkan satu perkongsian.

TPM Biotech menyediakan banyak latihan jangka pendek mengenai perniagaan produk halal kepada negara luar seperti Korea Selatan, Australia, Jepun dan Bahrain.-- Bernama

TPM Biotech, Amran Muslim Food, China

Artikel Lain