suria

AIMS Cyberjaya Dilantik Terajui Inisiatif Kurangkan Kos Tinggi Jalur Lebar

KUALA LUMPUR: AIMS Cyberjaya Sdn Bhd (AIMS) telah dilantik Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), melalui tender terbuka, menerajui dan melaksana inisiatif rangkaian pusat antara data (DC), bertujuan mengurangkan kos tinggi jalur lebar dihadapi pusat-pusat data Malaysia.

AIMS akan bertanggungjawab ke atas penugasan, konfigurasi, pengawasan dan sokongan perkhidmatan dan operasi rangkaian tulang belakang ultra jalur lebar pusat data saling menyambung di Cyberjaya.

Inisiatif Rangkaian Antara DC itu dihasilkan daripada input penggiat pusat data tempatan, dianjurkan Gabungan Pusat Data Malaysia (MDCA)dan dipermudahkan oleh MDeC - untuk mengurangkan kos operasi pusat data.

"Kabel dasar laut baharu dijangka memulakan perkhidmatan menjelang suku kedua 2016 bagi menangani kos komponen antarabangsa jalur lebar ini.

"Tetapi pada masa sama aspek domestik perlu sama ditangani dan kami sedang mencari jalan untuk mengurangkannya bagi mewujudkan ekosistem pusat data yang lebih kompetitif bagi menggalak penggiat kandungan digital dan perkhidmatan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk rantau ini," kata Pengarah Bahagian Pembolehan Digital MDeC, Wan Murdani Wan Mohamad dalam satu kenyataan.

Sambungan antarabangsa Malaysia diletakkan di tempat ke-28 (daripada 30 negara teratas, menurut Cushman  and  Wakefield, 2013), walaupun ranking Risiko Pusat Data Global negara keseluruhannya berada pada tempat ke-16.

Inisiatif Rangkaian Antara DC bermodelkan Pusat Pertukaran Internet Malaysia yang telah berjaya mengurangkan kos sambungan lebar jalur domestik, dengan menggunakan konsep nod pengagregatan dan lokasi bersama kehadiran titik rangkaian untuk penyedia perkhidmatan Internet.-- Bernama

AIMS Cyberjaya, jalur lebar

Artikel Lain