suria

Malaysia Catat RM4.52 Bilion Lebihan Dagangan Pada Februari 2015

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat lebihan dagangan bagi 208 bulan berturut-turut pada Februari 2015, dengan nilai sebanyak RM4.52 bilion, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Perdagangan pada bulan tersebut berjumlah RM101.81 bilion dengan eksport dan import, masing-masing bernilai RM53.17 bilion dan RM48.65 bilion, berbanding RM58.91 bilion dan RM48.48 bilion pada Februari tahun lepas.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Miti berkata, prestasi tersebut adalah sama dengan negara serantau lain yang mencatatkan pertumbuhan perdagangan lebih rendah bagi Februari 2015.

"Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan itu ialah harga komoditi yang rendah, permintaan global yang lemah terutamanya di China dan Kesatuan Eropah serta hari bekerja yang lebih pendek," katanya.

Bagi tempoh dua bulan secara kumulatif, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM13.48 bilion dengan jumlah perdagangan bernilai RM220.07 bilion, yang terdiri daripada RM116.77 bilion bagi eksport dan RM103.29 bilion (import).

Pada Februari, Miti berkata, sumbangan eksport barangan pembuatan kepada jumlah eksport Malaysia naik 78 peratus yang bernilai RM41.45 bilion berbanding 75.4 peratus dicatatkan pada bulan sama tahun lepas.

Jumlah eksport lebih tinggi dilihat dalam jentera, perkakasan dan peralatan (mesin pemprosesan makanan dan peralatan), peralatan saintifik dan optik, tekstil, pakaian dan kasut serta makanan diproses.

Bagaimanapun, eksport produk petroleum ditapis merosot sebanyak RM1.59 bilion dengan purata nilai seunit (AUV) rendah sebanyak 32.5 peratus, memberi kesan kepada prestasi eksport barangan pembuatan, kata Miti.

Eksport barangan perlombongan pada Februari bernilai RM7.2 bilion, menyumbang 13.5 peratus kepada jumlah eksport Malaysia.

Prestasi sektor itu terjejas berikutan penurunan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.

Eksport LNG susut berikutan penurunan AUV dan jumlah dagangan, masing-masing sebanyak 8.7 peratus dan 5.5 peratus, manakala bagi petroleum mentah, ia berikutan AUV lebih rendah sebanyak 46 peratus, kata Miti.

Katanya, eksport barangan pertanian turun sebanyak 24.6 peratus kepada RM4.16 bilion susulan penurunan eksport minyak sawit sebanyak RM1.06 bilion, disumbangkan oleh AUV dan jumlah dagangan yang lebih rendah.

Pertumbuhan eksport yang dicatatkan bagi pasaran Asean (27.6 peratus), Jepun (13.3 peratus) dan Amerika Syarikat (8.2 peratus).

Daripada 10 pasaran EU yang utama, tujuh -- Belanda, United Kingdom, Perancis, Belgium, Poland, Greece dan Sweden -- mencatatkan pertumbuhan eksport yang lebih tinggi pada Februari.

Perdagangan dengan EU, bernilai RM10.98 bilion, naik sebanyak 10.1 peratus, dengan eksport sebanyak RM5.2 bilion, katanya.

Sementara itu, eksport ke China berjumlah RM5.79 bilion.

Aktiviti pembuatan China yang perlahan menyebabkan beberapa eksport merosot, iaitu minyak sawit, produk elektrik dan elektronik, pengeluaran logam (katod tembaga halus), produk getah (getah kompaun), getah asli mentah dan produk petroleum, menurut Miti.

Bagaimanapun, beberapa produk eksport mencatatkan peningkatan seperti jentera, perkakasan dan peralatan (alat ganti dan aksesori mesin untuk pembuatan semikonduktor) serta produk kimia dan kimia (polimer etilena dalam bentuk utama).

Bagi import pada Februari, terdapat pertumbuhan yang minimum sebanyak 0.4 peratus kepada RM48.65 bilion berbanding bulan sama pada 2014.

Barangan pengantara bernilai RM29.36 bilion atau 60.3 peratus daripada jumlah import, diikuti barang modal (RM6.89 bilion) dan barangan penggunaan (RM3.93 billion).

Produk import utama ialah produk elektrik dan elektronik bernilai  RM13.92 bilion, produk petroleum (RM5.76 bilion), produk kimia dan kimia (RM4.66 bilion) dan jentera, perkakasan dan peralatan (RM3.88 bilion), menurut Miti.

Katanya, China merupakan sumber import utama Malaysia yang menyumbang RM8.73 bilion, diikuti Singapura (RM5.37 bilion), Jepun (RM4.11 bilion) dan Amerika Syarikat (RM3.56 bilion).  -- Bernama



Miti, EU, lebihan dagangan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain