Kedudukan Ekonomi Negara Kukuh, Berada Pada Zon Selamat - Abdul Wahid Omar

Diterbitkan: Rabu, 1 April 2015 4:08 PM

Abdul Wahid Omar

Abdul Wahid Omar

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keadaan ekonomi negara adalah kukuh bagi menangani pelbagai keadaan persekitaran luar yang tidak menentu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata, terdapat lima faktor yang menjadi penyumbang utama kepada kekukuhan ekonomi negara.

Faktor pertama ialah kerajaan telah mempelbagaikan asas struktur ekonomi agar tidak terlalu bergantung kepada mana-mana sub-sektor atau komoditi.

"Sebagai contoh, sumbangan sektor perkhidmatan kepada ekonomi negara meningkat kepada 55 peratus manakala pembuatan 25 peratus," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) mengenai kemungkinan ekonomi negara akan dilanda kesan atau kegagalan sistematik akibat daripada ketidaktentuan ekonomi global yang dialami sekarang.

Abdul Wahid berkata, faktor kedua ialah persekitaran pasaran domestik negara juga stabil dengan kadar inflasi terkawal pada paras tiga peratus sejak lima tahun lepas dan dijangka terus rendah berikutan harga minyak mentah global dan harga komoditi dunia yang menurun.

"(Faktor ketiga) iaitu kedudukan imbangan pembayaran negara yang kekal daya tahan juga menjadi asas kepada kekukuhan ekonomi negara," katanya.

Abdul Wahid berkata, faktor keempat ialah kedudukan rizab antarabangsa terkini (13 Mac 2015) iaitu RM381.5 bilion memadai untuk membiayai hutang luar negara bagi jangka pendek.

Selain itu katanya, sistem kawalan perbankan negara juga kukuh dengan nilai nisbah modal melebihi tahap minimum juga menjadi faktor penyumbang kepada kekukuhan ekonomi negara.

"Nisbah pinjaman kepada deposit semasa adalah 87 peratus," katanya.

Beliau turut optimis dengan menyatakan keyakinan bahawa ekonomi negara akan terus kukuh dan mampu menghadapi sebarang ketidaktentuan ekonomi global memandangkan sistem kewangan negara dikawal selia secara mantap dan profesional oleh Bank Negara Malaysia.

"Negara telah mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus tahun lepas berbanding 4.7 peratus pada 2013. Bagi tahun ini kita jangkakan pertumbuhan antara 4.5 peratus sehingga 5.5 peratus," katanya menambah kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif seiring perubahan senario ekonomi global. -- Bernama


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan