suria

Pengerusi Exim Bank Terima Anugerah Tertinggi Kemboja

KUALA LUMPUR: Pengerusi Export-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim) Datuk Mohd Hashim Hassan akan dianugerahi Pingat Munisaraphoin daripada kerajaan Kemboja, Jumaat.

Penganugerahan akan dilakukan oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Sen semasa perasmian Masjid Besar Alserkal di Phnom Penh.

Pingat Munisaraphoin merupakan anugerah kehormat tertinggi Kemboja dan penganugerahan itu adalah sebagai mengiktiraf peranan Exim Bank dalam menggalakkan perhubungan perniagaan antara Malaysia dan Kemboja.

"Ini merupakan satu penghormatan besar bagi saya.

"Sememangnya menjadi matlamat Exim Bank untuk meningkatkan pelaburan rentas sempadan antara Malaysia dan Kemboja yang seterusnya membawa kepada penghormatan berprestij ini," kata Hashim dalam satu kenyataan, di sini.

Perdagangan antara kedua-dua negara terbabit bernilai AS$420 juta pada 2013 dan Malaysia mengeksport produk minuman, peralatan pengangkutan, makanan diproses, produk kimia dan jentera.

Malaysia merupakan pelabur ketiga terbesar di Kemboja dengan jumlah pelaburan keseluruhan sekitar AS$2.62 bilion dalam sektor perbankan, pelancongan, teknologi maklumat dan kewangan.

Setakat ini, nilai pelaburan rentas sempadan yang diwujudkan oleh Exim Bank menghampiri AS$100 juta meliputi sektor kerajaan dan swasta. -- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain