suria

EDC, Mara Akan Meterai MoU Pinjaman Usahawan JohorMart

JOHOR BARU: Kerajaan Johor dijangka memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada April ini bagi menyediakan pinjaman minimum RM20,000 kepada usahawan negeri untuk membangunkan kedai serbaneka - JohorMart.

Pengurus Besar Pusat Pembangunan Usahawan (EDC) Johor, Hahasrin Hashim berkata, JohorMart ialah jenama baharu bagi kedai serbaneka di negeri ini selain Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diwujudkan oleh kerajaan persekutuan.

"Sebanyak 30 buah JohorMart dirancang dibuka tahun ini, dan bagi memastikan perancangan itu tercapai, EDC menjalin usaha sama dengan MARA untuk membolehkan MARA memberi pinjaman antara RM20,000 dan RM50,000 kepada usahawan negeri yang berminat," katanya ketika ditemui sempena Hari Bertemu Pelanggan EDC: Edisi Pemasaran, di sini, Khamis.

Hahasrin berkata, JohorMart dengan keluasan lantai niaga minimum 1,000 kaki persegi, dijangka menawarkan harga barangan yang lebih murah berbanding KR1M.

"Ia juga akan menempatkan produk yang dihasilkan usahawan Johor sebagai satu cara kerajaan negeri membantu mereka memasarkan produk masing-masing," katanya.

Hahasrin berkata, JohorMart akan dipantau oleh EDC dari segi pembelian dan penghantaran barangan supaya tidak berlaku penyelewengan oleh pengusahanya, sekali gus membantu perniagaan itu berkembang pesat. --Bernama

JohorMart, EDC, Mara, Hahasrin Hashim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain