suria

Volvo Malaysia Buka Pengedar Baharu Ipoh

IPOH: Volvo Malaysia, pengedar Volvo dan Renault Trucks di negara ini, membuka premis pengedar terbaharunya di sini bagi menambah baik perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggannya.

Pengarah Urusannya Mats Nilsson berkata, pembukaan pengedar baharu itu menandakan satu lagi pencapaian dalam pelaksanaan Program Peningkatan Standard Operasi Pengedarnya.

"Program ini dilancarkan tiga tahun lepas seiring dengan visi korporat kami untuk memastikan semua proses pengedaran mematuhi piawaian kualiti, produk dan perkhidmatan Volvo," katanya pada perasmian premis itu, Rabu yang turut dihadiri Duta Sweden ke Malaysia Bengt Carlsson.

Beliau berkata, jumlah kenderaan komersial mengangkut barangan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan yang tinggi menjadikan Ipoh satu perhentian yang penting untuk pemeriksaan, penyenggaraan atau pembaikan kenderaan.

Beroperasi di sebuah bangunan yang didirikan di atas kawasan seluas 8,361 meter persegi, pusat itu menyediakan enam ruang kerja dan satu ruang mencuci kenderaan selain dilengkapi peralatan terkini.

"Pusat di Ipoh ini bukan sekadar untuk perkhidmatan pelanggan tetapi juga bertujuan meningkatkan peranan kami dalam membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Tidak dapat dinafikan industri pengangkutan adalah industri penting dan saya beri jaminan kepada anda Volvo Malaysia akan kekal di sini sebagai pengeluar, pembekal dan rakan kongsi yang teguh," katanya.

Sementara itu, Carlsson dalam ucapannya berkata beliau gembira melihat Volvo - satu daripada jenama global eksport Sweden yang paling berjaya - terus mencatat kemajuan di Malaysia dan melaksanakan inisiatif untuk memperluas prospek pertumbuhan di negara ini.

"Perak merupakan sebahagian daripada Wilayah Ekonomi Koridor Utara yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan meraih kekuatan daripada industri pertanian, pembuatan, logistik serta pelancongan," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Nilsson berkata Volvo Malaysia akan menyesuaikan harga trak dan alat ganti seiring pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan.

"Amnya harga akan lebih rendah dan kami sentiasa berusaha untuk kekal kompetitif dalam pasaran," katanya. 


Artikel Sebelum

Artikel Lain