suria

GST: Peniaga Boleh Tuntut Bayaran Balik, Tiada Sebab Harga Barang Naik

KUALA LUMPUR: Kelonggaran untuk peniaga atau pengeluar yang mendaftar menerusi Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mengemukakan tuntutan bayaran balik bagi mengelak kenaikan harga barang.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, pihak berkenaan boleh mengemukakan tuntutan tersebut dalam tempoh enam bulan selepas 1 April ini.

"Bagi amaun tuntutan kurang daripada RM10,000  pihak yang menuntut dikehendaki mengemukakan audit perakaunan yang ditandatangani oleh akauntan berkanun yang mengesahkan amaun pembayaran balik khas itu.

"Sementara untuk jumlah melebihi RM10,000 pihak yang menuntut perlu kemukakan perakuan audit yang ditandatangani oleh juruaudit syarikat yang diluluskan di bawah Seksyen 8 Akta Syarikat 1965 yang akan mengesahkan amaun pembayaran balik khas itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat GST dan isu semasa di Galeri Umno pada Selasa.

Beliau menegaskan setiap peniaga atau syarikat hanya boleh menuntut bayaran balik khas itu sekali sahaja dan sekiranya ada pihak yang cuba melakukan penipuan mereka akan dikenakan hukuman yang setimpal mengikut akta percukaian negara.

"Penyerahan tuntutan hanya dibenarkan melalui talian portal GST, Taxpayer Acess Portal (TAP).

"Pihak yang menuntut hanya dibenarlan menuntut sekali sahaja dalam tempoh tersebut dan tiada pembetulan yang dibenarkan pada tuntutan tersebut selepas penyerahan dibuat," katanya.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno itu berkata, tuntutan tersebut akan diperoleh dengan mengemukakan perakauan audit kepada Jabatan Kastam Diraja Malysia, manakala barangan terlibat adalah pembekalan bercukai pada 1 April 2015.

"Barangan tersebut tertakluk kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan cukai tersebut dibayar peniaga sebelum 1 April 2015.

"Pihak yang menuntut perlu mempunyai dan memegang invois pembekal bagi membuktikan mereka adalah penerima barang dan SST telah dibayar," katanya.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kerajaan bercadang menukarkan nama caj perkhidmatan yang dikenakan oleh restoran dan hotel supaya orang ramai tidak keliru dengan pelaksanaan GST.

Jelasnya, perkara tersebut harus dilaksanakan bagi mengelakkan orang ramai berfikiran bahawa cukai caj perkhidmatan ini sama ada lima peratus atau 10 peratus itu dikutip pihak kerajaan.

“Cukai caj perkhidmatan ini tidak ada kena mengena dengan GST yang bakal dilaksanakan sebanyak enam peratus mulai 1 April ini.

"Ia merujuk kepada tips yang diberi kepada pekerja restoran dan hotel,” katanya.

Beliau berkata, cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan kementerian itu bakal mengeluarkan garis panduan mengenainya.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua pengusaha restoran mengenakan caj perkhidmatan ini kerana mereka mahu memberikan harga kompetitif kepada pesaing, selain menarik lebih ramai pelanggan. 





Ahmad Maslan, GST, TAP

Artikel Lain