suria

Maybank Dipilih Jenama Bank Terbaik Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Maybank dipilih sebagai Jenama Bank Terbaik di Malaysia oleh Brand Finance dalam 'Global 500 League Table Report 2015', satu-satunya institusi kewangan yang diasaskan di Malaysia yang dimasukkan dalam kajian tahunannya.

Data yang dikumpul oleh organisasi itu adalah berasaskan kepada tiga kategori Perniagaan Berjenama, Sumbangan Jenama dan Nilai Jenama.

Setiap penanda aras bertumpu kepada segmen perniagaan yang berbeza, seperti nilai yang ditawarkan oleh jenama kepada perniagaan, daripada jumlah dan premium harga.

Perakuan itu mengukuhkan kedudukan Maybank sebagai penyedia perkhidmatan kewangan nombor satu di Malaysia dan antara bank terbesar di Asean, dengan Nilai Jenama hampir meningkat sekali ganda kepada AS$2.24 bilion berbanding pada 2010.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Maybank  Mohamed Adam Wee Abdullah berkata kejayaan itu membuktikan pewujudan nilai tradisi sekian lama institusi itu untuk pemegang kepentingan serta komitmennya kepada komuniti.

"Perakuan itu mencerminkan francais kukuh yang dinikmati oleh Maybank di rantau ini dan ekuiti jenama yang dibangunkan sejak bertahun-tahun menerusi tumpuan ke atas khidmat nasihat dan penyelesaian kewangan yang tepat kepada pelanggan bagi memenuhi keperluan mereka, selain usaha untuk melibatkan komuniti menerusi pelbagai Inisiatif Tanggungjawab Korporat kami," katanya.

Maybank menerima penarafan jenama AA+ pada 2015, meningkat kepada kedudukan ke-91 berbanding 93 pada 2014. -- Bernama

Artikel Lain