Cyberview Malaysia Perkukuh Kehadiran Di Jerman

Diterbitkan: Isnin, 23 Mac 2015 7:23 PM

(Ubah saiz teks)

FRANKFURT: Cyberview Sdn Bhd menyasar untuk mengukuhkan kehadirannya di Jerman dengan menyertai pameran perdagangan teknologi maklumat terkemuka, CeBIT yang berlangsung selama lima hari mulai 16 Mac lepas di Hannover.

Cyberview, syarikat milik kerajaan bertanggungjawab menjadikan Cyberjaya sebagai hab teknologi global. 

Bagi mencapai matlamat itu, syarikat berusaha mempromosikan Cyberjaya sebagai lokasi menarik untuk pelaburan dan teknologi, di Hannover. 

Siti Shafinaz Md Salim, Ketua Bahagian Program dan Dasar di Cyberview memberitahu Bernama, beliau mempromosikan Cyberjaya bagi teknologi IT yang utama seperti keselamatan maklumat, teknologi kandungan kreatif, Internet mudah alih, pengkomputeran awan, analisis data besar, teknologi hijau, bioteknologi, teknologi boleh dipakai dan teknologi grid pintar. 

"Matlamat kami ialah menarik pelaburan asing ke Cyberjaya yang dipromosikan sebagai hab teknologi global. Terdapat 800 syarikat antarabangsa di Cyberjaya," katanya.

Mengulas mengenai penyertaan Cyberview dalam pameran perdagangan CeBIT di Hannover, Shafinaz berkata organisasinya sedang mengenal pasti syarikat yang operasinya selaras dengan bidang pengkhususan yang dianggap segmen utama di  Cyberjaya.

"Kami telah mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat, termasuk yang telah beroperasi di Cyberjaya seperti IBM dan lain-lain, dengan tujuan menekankan peluang yang ada untuk perniagaan mereka. 

"Sebahagian daripada pembuat keputusan utama syarikat yang kami sasarkan ke Cyberjaya turut hadir pada pameran CeBIT," katanya.

Beliau berkata kenderaan elektrik, produk 'teknologi hijau', merupakan projek menarik Cyberjaya dan juga inovasi menarik bagi Cyberview.Teknologi hijau, yang menekankan perlindungan alam sekitar, ditampilkan secara besar-besaran pada pameran CeBIT.

China, "negara rakan" pada CeBIT, turut menyediakan panduan kepada Cyberview.

"Konsep Sino-German Eco-Park merupakan model yang baik untuk kami. Saya mengadakan perbincangan dengan pakar berhubung perkara itu untuk melihat jika ciri-ciri projek ini boleh diaplikasikan di Cyberjaya, yang dikenali sebagai Lembah Silikon Malaysia," kata Shafinaz.

Cyberview, seiring dengan pejabat Frankfurt Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kedutaan Malaysia di Berlin, akan menyertai Forum Asia Pasifik di Berlin.

Acara itu akan diadakan dalam rangka kerja 'Minggu Asia Pasifik' yang  mengetengahkan aspek budaya, perniagaan dan sains dari 18-29 Mei di Berlin.

Malaysia akan menekankan ciri-ciri istimewa Cyberjaya di bawah tema 'Bandar Pintar'.

Menurut S.Sivasuriyamoorthy, pengarah pejabat MIDA di Frankfurt, ketiga-tiga pihak tersebut akan menganjurkan secara bersama seminar pelaburan di Berlin pada 18 Mei. 

Fokus dialog yang akan diadakan antara kepimpinan Berlin dan wakil Asia ialah kesaling bergantungan antara bandar pintar, ekonomi hijau dan pembangunan mampan. 
Tags / Kata Kunci: Cyberview Malaysia

iklan

Video

Isnin, 21 Ogos 2017 12:59 PM

Hafiz Tak Mengaku Saya Isteri - Joy Revfa

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:33 PM

Temui Cincin Pada Lobak Selepas 13 Tahun Hilang

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:00 PM

Jantina Belum Tahu Lagi! - Ezzaty Abdullah

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Kolumnis

iklan

Iklan