suria

ADB Bersedia Bantu Malaysia Tangani Pelbagai Cabaran Ekonomi

Takehiko Nakao

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Asia (ADB) bersedia membantu Malaysia menangani pelbagai cabaran yang masih ada bagi memastikan pertumbuhan yang mampan, termasuk memanfaaatkan integrasi yang sedang berlaku dalam Asean, kata Presidennya, Takehiko Nakao.

Nakao berkata, ekonomi Malaysia yang menikmati pertumbuhan kukuh 6.0 peratus tahun lepas, kini menghadapi beberapa cabaran makroekonomi, antara lain disebabkan harga minyak dan gas yang lebih rendah.

Nakao kini berada di Kuala Lumpur dan berpeluang berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, mengenai cara-cara ADB boleh terus menyokong usaha negara mencapat status berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Nakao juga menghadiri Mesyuarat Menteri Kewangan Asean ke-19 di mana beliau menggariskan prospek ekonomi rantau ini dan cabaran dasar pada tahun pertama pembentukan Komuniti Ekonomi Asean (AEC).

Nakao menggalakkan kerajaan meningkatkan usaha mempelbagaikan ekonomi, termasuk melalui industri pengetahuan seperti bioteknologi.

Beliau juga memuji rancangan memperkenal cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan penghapusan subsidi bahan api.

"Rancangan Malaysia Ke-11 2016-2020 oleh kerajaan adalah penting untuk memastikan Malaysia kekal kompetitif di rantau yang pesat membangun ini," kata Nakao dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Bernama di sini.

Menurutnya, sokongan berterusan bagi mewujudkan persekitaranuntuk pembangunan sektor swasta akan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dan membolehkan syarikat swasta tempatan memanfaatkan sepenuhnya peluang baharu seperti rantaian bekalan serantau.

Kenyataan itu berkata, Nakao dan Najib bersetuju yang kerjasama serantau dan integrasi perlu menjadi keutamaan Malaysia, anggota pengasas Asean dan kini menjadi pengerusinya.

ADB mempunyai keutamaan khusus dalam bidang ini dan telah memberi bantuan kepada Asean, Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMPEAGA) serta Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMTGT), di mana semuanya Malaysia menjadi rakan kongsi aktif.

Nakao berkata, Dana Infrastrutktur Asean yang disokong ADB, yang dihoskan Malaysia, adalah kenderaan yang ideal untuk menggerakkan pelaburan bagi meningkat integrasi melalui projek infrastruktur.

Malaysia menyertai ADB sebagai anggota pengasas pada 1966 dan sejak itu menerima AS$2.3 bilion dalam bentuk pinjaman dan bantuan teknikal.

Sektor yang menjadi keutamaan termasuk pertanian, pendidikan dan tenaga.

Sokongan ADB pada masa depan akan konsisten dengan status pendapatan sederhana Malaysia dan mencerminkan usaha aktif negara menggalakkan kerjasama serantau di samping meningkatkan produktiviti dan inovasi.

Dalam ucapan kepada Mesyuarat Menteri Kewangan Asean, Nakao berkata, pertumbuhan Asean dijangka kekal pesat dengan keluaran dalam negara kasar serantau 2015 dijangka melepasi 4.4 peratus yang dicapai tahun lepas dan meningkat lagi pada 2016.

Pelbagai faedah daripada infrasturktur negara akan dimaksimumkan oleh jalan, landasan kereta api dan pelabuhan rentas sempadan.

"Negara-negara perlu mengekalkan dasar makroekonomi yang berhemat dan mengukuhkan pembaharuan struktur.

"Di samping itu, anggota ASEAN perlu terus bekerjasama mewujudkan infrastuktur, kemudahan perdagangan serta integrasi kewangan yang lebih baik, yang akan memanfaatkan seluruh rantau ini," kata Nakao.

ADB, berpangkalan di Manila, ditugas mengurangkan kemiskinan di Asia dan Pasifik melalui pertumbuhan ekonomi inklusif, pertumbuhan yang mapan di segi persekitaran dan integrasi serantau. Ditubuhkan pada 1966, ia dimiliki 67 anggota 48 dari rantau berkenaan. -- Bernama


ADB, Takehiko Nakao

Artikel Lain