suria

Sektor Swasta Malaysia Boleh Sertai Projek AEC

Mohd Irwan Serigar Abdullah

KUALA LUMPUR: Sektor swasta Malaysia boleh mengambil bahagian dalam pembiayaan projek-projek infrastruktur dalam Asean yang diperlukan Komuniti Ekonomi Asean (AEC), kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

"Projek-projek loji tenaga hidro, talian penghantaran untuk sambungan, kereta api dan bekalan air minuman yang bersih untuk masyarakat luar bandar, adalah antara projek pilihan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan mengenai pilihan bagi Asean untuk membiayai projek-projek infrastruktur yang diperlukan.

Mohd Irwan mempengerusikan mesyuarat antara pegawai-pegawai kanan kewangan dan bank pusat di sini hari ini sebagai persediaan untuk Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Asean (AFMM) Ke-19 pada Sabtu.

Beliau berkata Malaysia akan mempengerusikan mesyuarat khas mengenai Dana Infrastruktur Asean (AIF) selepas AFMM.

"Kami kini bekerjasama dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) untuk melihat infrastruktur yang diperlukan, terutama di negara-negara Asean yang kurang maju seperti Laos, Kemboja dan Myanmar.

"Malaysia, terutamanya sektor swasta kita, boleh mengambil bahagian bersama-sama dengan ADB bagi membiayai beberapa projek-projek di negara-negara Asean," tambah Mohd Irwan.

Beliau berkata, sempena AFMM, majlis perniagaan dari Malaysia akan membentangkan kertas kerja mengenai Bank PKS Asean yang baharu, bagi negara-negara anggota.

"Melalui perbincangan yang baik, yang dijangka berlangsung semasa AFMM berhubung topik mekanisme pembiayaan infrastruktur dan sambungan Asean, lebih banyak infrastruktur dijangka dapat ditingkatkan.

"Akses pasaran juga akan diperluas dan lebih rakyat Asean boleh menambahkan pendapatan mereka ke arah membentuk bahagian kelas pertengahan atas dan ini boleh meningkatkan lagi kawasan pertumbuhan ekonomi.

"Melalui kerjasama yang baik antara negara-negara Asean dalam bidang kewangan, perbankan, dan perdagangan, serta integrasi pasaran modal, kita benar-benar bergerak ke arah pembentukan Komuniti Ekonomi Asean," tambah Mohd Irwan. -- Bernama

Artikel Lain