suria

Sunway, Hitachi Meterai MoU Kajian Jimat Tenaga

KUALA LUMPUR: Sunway PFM Sdn Bhd (Sunway) dan Hitachi Ltd, telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalankan kajian bersama mengenai teknologi penjimatan dan sistem pengurusan tenaga.

Dalam satu kenyataan bersama Khamis, kedua-dua syarikat itu berkata,  sistem yang bakal dilaksanakan di bangunan komersial, kemudahan dan kondominium di perbandaran milik atau diuruskan Sunway, akan menggunakan kepakaran Hitachi dalam sektor teknologi tenaga.

"Kerjasama ini menjadi satu pencapaian baharu sejak penubuhan Hitachi Sunway Information Systems Sdn Bhd iaitu kerjasama teknologi maklumat antara  Hitachi Systems Ltd dan Sunway Technology Sdn Bhd pada April 2013," kata kenyataan itu.

Ibu pejabat Sunway iaitu Menara Sunway, dipilih sebagai lokasi projek perintis berkenaan.

Hitachi akan mengesyorkan penyelesaian bersesuaian bagi membolehkan Sunway meneruskan usaha penjimatan dan pengurusan tenaga serta menyumbang bagi pembentukan masyarakat yang mengehadkan penghasilan karbon di Malaysia.

Jika kerjasama itu berjaya, kedua-dua pihak akan meneruskan perbincangan bagi tujuan penggunaan komersial dan kemungkinan projek bersama yang lain.

Sunway Group adalah konglomerat pembangunan hartanah terkemuka manakala Hitachi sememangnya menyediakan program Perniagaan Inovasi Sosial bagi menyelesaikan masalah masyarakat. -- Bernama

Sunway, Hitachi

Artikel Lain