suria

Fitch: Kemelut 1MDB Tak Mungkin Jejaskan Sistem Perbankan Malaysia

KUALA LUMPUR: Pendedahan sistem perbankan Malaysia terhadap dana pembangunan strategik kerajaan, 1MDB yang bermasalah adalah risiko yang masih boleh diuruskan, kata Fitch Ratings.

Malah, firma penarafan itu dalam satu kenyataan di sini, Khamis, turut menyifatkan bank-bank Malaysia terbukti mengamalkan dasar pinjaman berhemat yang dijangka dapat meminimumkan potensi impak masalah daripada mana-mana peminjam tunggal.

Menurutnya lagi, biarpun wujud ketidaktentuan mengenai tahap hutang sebenar 1MDB ketika pasaran menganggarkan had atasannya sekitar RM42 bilion (atau melebihi US$11 bilion) yang sebaliknya dilihat masih boleh diuruskan berbanding saiz sistem perbankan.

"Ada di antara pendedahan itu berkemungkinan sensitif kepada risiko mata wang biarpun anggaran ini hanya mewakili 20 peratus daripada sistem ekuiti atau tiga peratus daripada pinjaman.

"Had atasan pendedahan bank ini berdasarkan anggaran kerana tidak semua hutang 1MDB dipegang bank-bank domestik," kata firma itu.

Fitch turut menyifatkan risiko langsung kepada sistem perbankan adalah lebih rendah kerana ada di antara pendedahan itu sama ada dijamin kerajaan atau secara kolateral.

Pada masa sama, pemilikan modal yang mencukupi dan keuntungan yang besar turut menunjukkan bank-bank Malaysia berada pada kedudukan baik untuk menyerap kenaikan kos kredit yang ketara.

"Dasar pengurusan risiko mereka, termasuk kawalan ditetapkan Bank Negara yang mengehadkan batasan pendedahan peminjam kepada mana-mana entiti tunggal, sewajarnya amat memadai untuk mengekang risiko besar tetapi terpencil itu," katanya.

Fitch turut menyifatkan isu-isu 1MDB yang dibebani hutang besar adalah 'satu kebiasaan' dan tidak mencerminkan risiko serius yang berleluasa.

Namun, tegasnya, masalah 1MDB itu hanya menambah bebanan persekitaran operasi Malaysia yang sedia mencabar pada masa terdekat.

Selain itu, peningkatan hutang isi rumah sejak beberapa tahun lalu misalnya, berkemungkinan menjadi cabaran penggal pertengahan yang lebih besar bagi sistem pengurusan jika pertumbuhan kredit sebenar tidak dikekang dan kelemahan ekonomi terus ketara.

Ini diburukkan lagi dengan perkembangan melibatkan komoditi dan kelemahan pasaran kewangan yang mencetuskan ketidaktentuan terhadap prospek ekonomi Malaysia.

Malah, faktor berkenaan dianggap sebagai punca pembatalan rundingan penggabungan mega CIMB Group, RHB Capital dan MBSB, pada Januari lepas.

"Kami percaya kesemua risiko ini mampu diuruskan sistem sedia ada tanpa membabitkan sebarang kesan kelembapan ekonomi yang berpanjangan atau kadar pengangguran tinggi yang ketara. Ini disebabkan kerajaan telah pun menangani isu ini dengan langkah makro yang berhemat selain memperketat peraturan yang ada sejak beberapa tahun lalu," katanya.-- Bernama

Fitch, 1MDB, CIMB Group

Artikel Lain