suria

GTA Malaysia Dapat Kontrak Senggara Enjin Pesawat A400M TUDM

LANGKAWI: Syarikat Bumiputera, Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA) pada Rabu memeterai perjanjian perkhidmatan sokongan dengan Europrop International (EPI) bagi penyenggaraan enjin TP400 pesawat pengangkutan tentera A400M yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perjanjian itu dimeterai antara Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GTA  Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi dengan Pengurus Perkhidmatan Sokongan EPI, Ricardo Navarro.

Majlis permeteraian itu disaksikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, di sini. Majlis itu berlaku serentak dengan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA'15) yang sedang berlangsung di sini.

Pesawat A400M TUDM itu juga menyertai LIMA'15.

GTA, dalam kenyataan akhbar berkata, enjin TP400 pesawat itu merupakan enjin turboprop tiga-kili dengan kapasiti 11,000 kuasa kuda, menjadikannya enjin paling berkuasa bagi model seumpama itu.

Ia direka khusus bagi pesawat pengangkut A400M dan menampilkan teknologi canggih yang dibangunkan oleh empat rakan kongsi EPI dalam enjin komersial dan tentera, iaitu ITP, MTU Aero Engines, Safran Snecma dan Rolls Royce.

TUDM, GTA Malaysia

Artikel Lain