suria

Petronas Rai 50 Anak Angkat Cemerlang

KEMAMAN: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) meraikan 50 pelajar anak angkatnya dari Terengganu yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah tahun lalu.

Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Pantai Timur Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata beliau bangga dengan kejayaan pelajar berkenaan, yang pada mulanya hanya dikategorikan sebagai pelajar Harapan Lulus, namun membuktikan usaha berterusan boleh membuahkan hasil.

"Mereka adalah pelajar yang sederhana dari segi pencapaian akademik, yang dipilih untuk mengikuti Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP).

"Setiap tahun seramai 300 pelajar dari 13 buah sekolah di Terengganu dipilih menyertai program ini, melibatkan peruntukan lebih RM500,000 setahun untuk dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas majlis anugerah PSIP di sini, Isnin.

Mengulas lanjut tentang program itu, Wan Mohd Hasnan berkata penekanan diberi kepada tiga mata pelajaran yang dianggap 'kritikal' iaitu Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris menerusi medium kelas tambahan dan program pendidikan pada hujung minggu.

Program yang dimulakan pada tahun 2003 itu melibatkan penyertaan 69 buah sekolah di seluruh negara dengan penyertaan 3,000 pelajar setahun, kata Wan Mohd Hasan.

Petronas

Artikel Lain