suria

Unit Airbus Sasar 300-400 Tempahan Bagi A400M

KUALA LUMPUR: Airbus Defence and Space, peneraju global dalam pembuatan pesawat pengangkutan tentera, kapal tangki, jet pejuang dan pesawat pemantau, menyasar memperoleh antara 300 dan 400 tempahan bagi pesawat pengangkut A400M dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Naib presiden eksekutif pemasaran dan jualannya, Christian Scherer berkata, A400M, pesawat pengangkut paling serba boleh setakat ini, mendapat banyak perhatian daripada tentera udara di seluruh dunia.

"Beberapa pelanggan kami telahpun menggunakan dengan intensif pesawat itu dalam operasi mereka. Malahan, penyokong terbaik kami adalah tentera udara sendiri.

"Kami mendapat banyak permintaan khusus dan kami yakin memperoleh tempahan baharu bagi A400M daripada satu pelanggan tahun ini," katanya kepada Bernama.

Malaysia menempah empat pesawat A400M, manakala tempahan dari Belgium, Perancis, Jerman, Luxembourg, Sepanyol, Turki dan UK berjumlah kesemuanya 174 bagi pesawat pengangkut itu setakat ini.

Pesawat A400M itu boleh melaksanakan peranan tiga dalam satu, pertamanya memiliki keupayaan strategik mengangkut muatan berat dan besar, dan terbang pada ketinggian yang tinggi dan kelajuan pantas bagi jarak jauh.

Keduanya, keupayaan taktikal operasi bagi landasan tidak berturap pendek dan lembut, dan ketiga berfungsi sebagai pesawat tangki melakukan pengisian minyak di udara.

Scherer berkata A400M mengisi jurang dalam pasaran dan tiada pesaing langsung yang boleh menyaingi keupayaan A400M, justeru itu Airbus Defence and Space yakin menerima tempahan besar bagi pesawat pengangkut tersebut.

Beliau berkata A400M akan menggunakan warna Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA'15) dari 1721 Mac.

"LIMA'15 adalah medan terbaik untuk mempamerkan A400M dan keupayaannya, terutamanya pada ketika TUDM baru sahaja menerima A400M pertamanya.

"Kami amat berbangga dengan Malaysia sebagai rakan kongsi kami dan merupakan pelanggan pertama A400M kami di Asia. Kami menghargai keyakinan mereka terhadap kami," katanya.

Menurutnya, Airbus Defence and Space, bahagian Airbus Group, juga menawarkan  kepada pasaran A330 Multi Role Tanker Transport (MRTT), C295 dan Eurofighter Typhoon (pesawat 'swing-role' paling berkuasa).

Pesawat A400M dilancarkan pada 2003 untuk menyediakan kepada keperluan  OCCAR, agensi bersama pemerolehan pertahanan Eropah, mewakili tujuh negara - Belgium, Perancis, Jerman, Luxemburg, Sepanyol, Turki dan UK.

Penerbangan sulungnya bermula pada 11 Dis, 2009, manakala Tentera Udara Perancis menerima serahan pesawat A400M pertama pada 1 Ogos, 2013. 

A400M, Airbus

Artikel Lain