suria

Lynas Dakwa Kilang Di Kuantan Punca Kerugian Syarikat

MELBOURNE: Pelombong nadir bumi, Lynas Corporation yang mencatatkan hampir dua kali ganda bagi kerugian setengah tahun, menyalahkan operasi kemudahan pemprosesan Malaysia yang perlahan daripada jangkaan serta bergelut dengan kejatuhan harga yang berpanjangan.

Agensi berita Australian Associated Press (AAP) melaporkan Lynas sedang melaksanakan kajian semula operasinya dan membuat perubahan kepada perjanjian hutang memandangkan ia menumpukan kepada pertumbuhan penguasaan pasaran.

Syarikat itu mengurangkan perbelanjaan am dan pentadbiran serta melaksanakan  penambahan kecekapan seperti menghentikan operasinya di Sydney dan meningkatkan pemulihan pengeluaran.

Lynas merekodkan kerugian separuh pertama A$103.5 juta pada 31 Dis, 2014 selepas kerugian setengah tahun A$59.3 juta pada setahun yang lepas.

Menurut AAP, harga nadir bumi jatuh memandangkan bekalan meningkat dan pengguna produk teknologi tinggi menjadi lebih cekap dan menemui sumber alternatif untuk berdepan dengan penguasaan China dalam pengeluaran dunia.

Lynas turut bergelut untuk meningkatkan operasi pengeluaran dan menjadikan kilang pemprosesannya di Malaysia mencatat keuntungan.

Sahamnya susut lebih daripada 80 peratus pada tahun lepas selepas syarikat merekodkan kerugian setahun A$366 juta pada 2013/14, kata AAP.

Bagi tempoh enam bulan lepas, liabiliti keseluruhan Lynas meningkat kepada  $650 juta, daripada $550 juta bagi tempoh enam bulan sebelum itu.

Kemampuan syarikat untuk membayar perbelanjaan operasinya dan prinsipal dan pembayaran faedah disebabkan kemudahan hutang selama 12 bulan akan datang, bergantung kepada faktor seperti jumlah pengeluran, jumlah jualan, belanja operasi dan harga pasaran nadir bumi, kata Lynas.

Ketua Eksekutif Lynas Amanda Lacaze berkata sepanjang setengah tahun, Lynas telah meningkatkan keupayaan teras dan hubungan dengan pelanggan.

"Kemajuan yang berterusan ini diiktiraf oleh dua penyedia utama hutang yang bersetuju mengubah perjanjian hutang kami untuk menyokong pertumbuhan berterusan perniagaan Lynas," kata Lacaze seperti yang dipetik oleh AAP.

Pendapatan pada separuh pertama sebanyak A$65 juta, meningkat daripada A$14.6 juta pada tahun sebelumnya.

Syarikat itu tidak mengumumkan dividen.

Lynas, Kuantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain