suria

Pengambilalihan Integrax Oleh TNB Dapat Lonjakkan Ekonomi Perak - Exco

IPOH: Rancangan pengambilalihan Integrax Bhd yang menguasai Pelabuhan Lumut, jika diluluskan oleh pemegang sahamnya, akan melonjakkan ekonomi Perak dengan memberi lebih banyak peluang pekerjaan dan perkhidmatan kepada penduduk, kata seorang Exco kerajaan negeri itu.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharudin turut menyifatkan pelaburan TNB di Perak sebagai amat penting dalam usaha penjanaan serta menjamin sumber tenaga elektrik yang berterusan bukan sahaja di Perak malah seluruh Semenanjung Malaysia.

Pada masa sama, ia turut menambah peluang pekerjaan dan ekonomi kepada rakyat dan negeri.

"Sejak TNB bertapak di Manjung pada tahun 2003, khususnya di TNB Janamanjung, pelaburan mereka bagi tiga janakuasa sahaja mencecah RM6.8 bilion yang turut menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan sehingga ke hari ini.

"Hampir 1,000 peluang pekerjaan disediakan untuk tiga janakuasa yang beroperasi sekarang," katanya yang turut mengalu-alukan tawaran pengambilalihan oleh TNB itu.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Ir Azman Mohd telah memberi jaminan bahawa TNB komited sepenuhnya untuk membangun ekonomi Perak menerusi pelabuhannya yang besar serta stesen-stesen janakuasanya.

TNB juga akan melabur secara berterusan di Perak menerusi inisiatif-inisiatif ekonomi dalam tempoh jangka panjang.

Mengulas lanjut, Zainol Padzi berkata: "Menerusi peningkatan dan penambahan loji-loji baharu di Manjung oleh TNB, saya bersetuju dengan pandangan bahawa impak paling besar yang kita akan dapat selain menyumbang kepada ekonomi adalah peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan serta perkhidmatan sampingan yang berkait rapat dengan kewujudan janakuasa ini."

Beliau turut bersetuju dengan pandangan bahawa pelaburan tempatan yang melibatkan pelaburan besar seperti projek-projek janakuasa di Manjung, adalah menyamai dengan usaha pelaburan langsung asing (FDI).

"Sama juga seperti FDI lain yang masuk ke sini. Kalau TNB sebagai pembekal utiliti terbesar negara nak melabur di Perak, takkan kita nak menolaknya.

"Impaknya bukan sahaja yang kita nampak di Manjung tetapi turut menular hampir ke seluruh negeri Perak. Bagi kerajaan negeri, kita merasa amat terjamin kalau pelabur datang, termasuklah dari segi bekalan elektrik," katanya.

Zainol Fadzi turut menyifatkan pengambilahan Integrax oleh TNB adalah bagi menjamin sumber bekalan arang batu yang diperlukan oleh janakuasa-janakuasa berkenaan.

"Ianya perlu dilihat secara rasional. Ia bukan sebagai kepentingan atau entiti perniagaan tetapi lihat aspek kepentingannya kepada negara dan seterusnya rakyat," katanya.

Menurutnya, tiga janakuasa sedia ada itu menyumbang hampir 10 peratus bekalan elektrik untuk Semenanjung Malaysia dan menerusi penambahan dua lagi janakuasa di Manjung yang apabila siap kelak, akan mencecah hampir 18 peratus.

Oleh itu, katanya, langkah TNB perlu dilihat dari sudut menguasai operasi pelabuhan untuk memastikan bekalan arang batunya tidak tergugat.

"Selain tanggungjawab penting dan berat kepada TNB, ia juga memerlukan kawalan atau bidang kuasa bagi memastikan penghantaran arang batu daripada pelabuhan ke unit-unit janakuasa," katanya.

Merujuk aspek jaringan infrastruktur bekalan, kata Zainol Fadzi, sememangnya wajar bagi TNB untuk bertanggungjawab ke atas aset-aset kritikal yang melibatkan kawasan operasi, pelabuhan, tempat penyimpanan stok dan keperluan berkaitan bagi penjanaan loji janakuasa.

"Ini bukanlah satu perkara yang boleh dipandang rendah ataupun sambil lewa.

Kelancaran bekalan dan sumber arang batu kepada janakuasa-janakuasa ini akan memastikan ia beroperasi dengan baik dan rakyat mendapat manfaat bekalan elektrik tanpa gangguan.

"Sudah tentu (dalam perkara ini) amat penting bagi TNB untuk melihat kepentingan jaringan infrastruktur khususnya melibatkan pelabuhan berkaitan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak Corp Berhad, Datuk Aminuddin Md Desa pula menyifatkan penjualan ekuiti perbadanan itu dalam Integrax kepada TNB akan memberi pulangan pelaburannya pada kadar premium yang menarik iaitu berjumlah RM153.8 juta.

Ini membolehkan syarikat itu meningkatkan pelaburannya dalam sektor-sektor hospitaliti, pelancongan dan pembangunan hartanah.

-- BERNAMA
TNB, Integrax, Zainol Fadzi Paharudin

Artikel Sebelum

Artikel Lain