suria

QNet Buka Pejabat Di Myanmar

KUALA LUMPUR: QNet, sebuah syarikat jualan langsung terkemuka Asia yang juga sebahagian daripada industri jualan langsung global bernilai AS$178.5 bilion, telah menembusi segmen perniagaan itu di Myanmar menerusi pembukaan pejabat agensinya di negara itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di Yangon, syarikat itu berkata majlis perasmian pejabat agensi itu Ahad, dijangka dapat membantu meningkatkan tahap kehidupan menerusi usaha menyemai semangat keusahawanan dalam kalangan individu yang bukan berlatarbelakangkan perniagaan.

Syarikat yang mengoptimumkan penggunaan platform e-dagang, menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan, Kyi Min Brothers Group of Companies bagi menyediakan bantuan sokongan pelanggan kepada masyarakat di Myanmar serta paparan produk QNet.

QNet, berdasarkan pelan rancangannya, juga optimis bahawa industri jualan langsung di Myanmar akan lebih progresif sepertimana di negara membangun lainnya.

"Sejajar dengan populariti segmen jualan langsung ini, Myanmar dilihat berpotensi besar untuk menjadi pasaran peneraju di rantau Asia Tenggara," kata Pengurus Besar Rantau Asia Tenggara QNet, Stevenson Charles.

Selain itu, QNet yang turut menawarkan pelbagai produk, turut melebarkan sayapnya di Komuniti Ekonomi Asean (AEC). Malah, perniagaan QNet di rantau itu terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan khususnya di Indonesia, Vietnam,  Malaysia serta negara yang terbuka kepada pasaran bebas seperti Myanmar.

Selaras dengan pelaksanaan AEC pada tahun ini, QNet juga tidak melihat wujudnya sebarang sempadan bagi peningkatan peluang dan potensinya.

AEC dijangka dapat dilancarkan pada akhir 2015 yang antara lainnya bertujuan menjadikan negara anggota Asean sebagai satu pasaran tunggal.


Artikel Lain