suria

Enam Bulan Tempoh Peniaga Tuntut SST Mulai April - Ahmad Maslan

Ahmad (tengah) bersama Pengarah Kastam Negeri, Datuk Zulkifli Yahya (dua dari kanan) dan orang ramai pada taklimat dan agihan risalah GST di SMK Guar Perahu Indah Penanti, Permatang Pauh, Ahad.

BUKIT MERTAJAM: Peniaga yang belum menghabiskan stok barangan boleh membuat tuntutan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lima peratus dan 10 peratus mulai bulan depan sehingga September ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, peniaga yang telah membuat pendaftaran bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) boleh berbuat demikian pada 1 April ini.

"Kita buat begitu supaya peniaga tidak menjadikan alasan untuk sengaja menaikkan harga barang kerana stok barangan bercukai (SST) masih dalam tangan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada penduduk Permatang Pauh mengenai isu CBP, di sini, Ahad.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pembayaran tuntutan itu akan dibuat secara berperingkat dan syarat permohonan adalah mengemukakan sijil audit daripada akauntan bertauliah bagi tuntutan kurang daripada RM10,000.

Bagi tuntutan lebih RM10,000, sijil audit daripada auditor berlesen perlu dikemukakan dan jika perlu, pihak Kastam Diraja Malaysia akan memeriksa stok berkenaan secara fizikal bagi mengelak cubaan tuntutan palsu.

Ahmad turut menyelar dakwaan harga barangan akan meningkat selepas pelaksanaan CBP mulai April ini yang disifatkannya tidak benar berikutan banyak jenis barangan yang dikecualikan CBP.

Sehubungan itu, tegasnya, alasan peniaga untuk menaikkan harga barangan berkenaan adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, kerajaan turut memberi pilihan kepada peniaga supaya tidak menjadikan stok lama sebagai alasan untuk menaikkan harga barang.

Malah, mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Saya harap para peniaga bertanggungjawab dan bersama membantu kami bagi memastikan CBP dilaksanakan dengan baik.

"Sistem CBP ini lebih teratur, telus serta berkesan untuk membantu peniaga, pengguna, eksport, pendapatan hasil dan ekonom negara. Ia bagi tujuan yang baik dan bukan untuk menyusahkan," katanya.

Ahmad berkata, sebanyak 348,943 syarikat telah mendaftar untuk CBP setakat semalam dan dianggarkan lebih 30,000 lagi syarikat yang masih gagal berbuat demikian.

SST, Ahmad Maslan, GST

Artikel Lain