suria

Melaka Dijangka Tarik Lebih RM5.4 Bilion Pelaburan Hijau Menjelang 2020

Idris Haron

MELAKA: Melaka dijangka mampu menarik lebih RM5.4 bilion pelaburan dalam sektor teknologi hijau menjelang 2020.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pelaburan tersebut merangkumi bidang pembinaan bangunan cekap tenaga, taman eko-Solar, industri pengurusan bahan buangan dan pelancongan hijau.

"Melaka merupakan antara negeri yang paling giat menggerakkan teknologi hijau dan menjadikan amalan hijau sebagai gaya hidup," katanya ketika membentangkan usul ucapan terima kasih ke atas ucapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob sempena pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di sini.

Usul itu disokong Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang).

Pelaburan sektor teknologi hijau yang diperoleh Melaka termasuk RM86 juta projek ladang jana tenaga solar berkapasiti lapan megawatt milik Gading Kencana Sdn Bhd di Bandar Teknologi Hijau di Jasin.

Selain itu, RM20 juta bakal disalurkan 'Dana Pelaburan Iklim Denmark' bagi menaik taraf sembilan bangunan di Melaka menjadi bangunan cekap tenaga.

Sementara itu ketika menjawab soalan lisan Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) yang bertanya tentang jumlah hutang kerajaan negeri, Idris berkata baki pinjaman pokok kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan sebanyak RM861.7 juta.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan pinjaman agensi negeri kepada institusi kewangan sebanyak RM225.73 juta, dengan baki setakat 31 Jan lepas berjumlah RM192.06 juta.

Katanya, kerajaan negeri mempunyai rizab berjumlah RM206.61 juta akhir tahun lepas dan RM217.13 juta pada 2013.

Melaka, teknologi hijau, eko-Solar

Artikel Lain