suria

Hasil Minyak Sawit Malaysia, Indonesia Meningkat Jika Cuaca Kekal Baik

KUALA LUMPUR: Pengeluaran minyak sawit di Malaysia dan Indonesia diunjur meningkat tahun ini jika keadaan cuaca terus baik, kata Ketua Pengarah Eksekutif United Plantation Bhd, Datuk Carl Bek-Neilsen.

"Saya menjangka pengeluaran di Malaysia akan meningkat tahun ini. Namun ia bergantung sepenuhnya kepada perkembangan cuaca dalam tempoh empat hingga lima bulan ini dan kita melihat apa yang akan berlaku.

"Jika cuaca baik, ia pasti menggalakkan peningkatan hasil pengeluaran lebih baik di Malaysia mahupun Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan pada Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Laurik 2015, di sini, Selasa.

Sambil menyifatkan Malaysia berdepan cabaran berganda tahun lepas akibat kemarau dan banjir, beliau berkata ia menyebabkan hasil minyak sawit merosot secara ketara, khususnya bagi tempoh suku keempat.

"Saya tidak menjangka pengeluaran di Malaysia lebih rendah daripada yang dicatatkan pada 2014. Ia bergantung kepada cuaca," tegasnya.

Mengulas lanjut, Bek-Nielsen berkata, pokok sawit tidak memberi reaksi segera kepada faktor cuaca, sebaliknya kesan itu hanya dapat dilihat enam hingga tujuh bulan kemudian.

"Sehubungan itu, kita perlu tunggu dan melihat perkembangan pada beberapa bulan akan datang. Jika secara tiba-tiba kita berdepan kemarau serius, ia pasti sukar untuk meningkatkan hasil pengeluaran di Malaysia," katanya.

Sementara itu, pandangan Bek-Nielsen itu turut dipersetujui Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah.

Menurutnya, pengeluaran minyak sawit bagi 2015, bergantung kepada keadaan alam pada tahun ini.

"Pengeluaran bagi tempoh suku pertama tahun ini merosot sedikit, namun angka keseluruhannya akan ditentukan apa yang berlaku pada April, Mei dan seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, mengulas unjuran harga komoditi itu, Bek-Neilsen berkata, jika Indonesia melaksanakan program biodiesel dengan berkesan dan disokong kestabilan cuaca, purata harga minyak sawit adalah antara RM2,200 dan RM2,400 setan metrik.

"Sebaliknya, jika mereka gagal melaksanakannya, harga purata adalah antara RM2,000 dan RM2,200," katanya.

Kontrak niaga hadapan minyak sawit Malaysia ketika ini adalah RM2,360 setan metrik.

Perangkaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan pengeluaran bagi 2014 meningkat kepada 19.67 juta tan daripada 19.22 juta tan yang diperolehi pada 2013.

Artikel Lain