suria

Kejatuhan Harga Minyak Dijangka Pengaruhi Firma Minyak, Gas Asia - Moody's

SINGAPURA: Kejatuhan ketara harga minyak mentah akan mempengaruhi syarikat-syarikat minyak dan gas Asia, kata Moody's Investors Service.

Dalam satu kenyataan, Isnin, Naib Presiden/pegawai kredit kanan Moody's  Vikas Halan berkata kejatuhan harga minyak mentah sejak pertengahan 2014 akan mengurangkan pendapatan dan aliran tunai syarikat minyak dan gas Asia serta melemahkan metrik kredit mereka pada 2015.

"Pada masa yang sama, harga rendah akan memberi faedah kepada kebanyakan negara Asia Pasifik memandangkan status rantau ini sebagai pengimport minyak bersih," kata Halan.

Harga minyak mentah turun hampir separuh antara Jun 2014 dan Januari 2015 disebabkan oleh keluaran minyak lebih tinggi daripada dijangka di AS dan permintaan yang berkurangan di pasaran baru muncul, kata Valan.

"Pada masa yang sama, dengan pertumbuhan perlahan permintaan di seluruh dunia, pasaran minyak berkemungkinan kekal terlebih penawaran dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Ketidakseimbangan permintaan-penawaran mungkin semakin teruk sekiranya pertumbuhan ekonomi China perlahan dengan ketara atau jika penghapusan sekatan ekonomi terhadap Iran terus meningkatkan jumlah minyak," kata Halan.

Moody's menurunkan andaian harganya bagi minyak mentah Brent kepada AS$55 setong sepanjang 2015 dan AS$65 pada 2016.

Moody's, Vikas Halan, minyak

Artikel Lain