suria

Bina Darulaman Unjur Catat Prestasi Tinggi Dalam Tahun Kewangan 2015

KUALA LUMPUR: Bina Darulaman Bhd, satu-satunya syarikat berkaitan kerajaan Kedah yang disenarai di bursa, mengunjurkan perniagaan terasnya mencatat prestasi yang baik dalam tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2015.

Unjuran itu adalah bersandarkan bank tanah yang mencukupi milik kumpulan itu  selain projek dalam tangan yang akan menyediakan pulangan mampan.

"Bahagian hartanah kami akan dapat mengekalkan sumbangannya berdasarkan sambutan menggalakkan ke atas pelancaran produk di Bandar Darulaman dan Darulaman Utama," kata Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Izham Yusoff menerusi satu kenyataan di sini, Ahad.

"Bahagian itu melancarkan semula skim hartanah baharu di Darulaman Perdana di Sungai Petani dengan konsep baharu selain proses penjenamaan semula manakala produk baharu di bandar lain juga akan dilancarkan mengikut jadual," katanya.

Jika tiada masalah seperti peningkatan harga minyak dan komoditi, kekurangan buruh mahir, peningkatan kadar faedah, akses ketat ke atas pinjaman gadai janji dan kedudukan ekonomi dan politik yang negatif, kumpulan itu dijangkakan mengulangi prestasi yang baik pada 2015, katanya.

Kumpulan itu terlibat dalam perniagaan teras dalam bidang kejuruteraan, pembangunan bandar dan hartanah, pelancongan dan hospitaliti.

Kumpulan itu mencatat peningkatan 15.5 peratus dalam keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 kepada RM33.9 juta berbanding RM29.3 juta pada 2013.

Perolehan meningkat 17 peratus kepada RM328.9 juta berbanding RM281.0 juta.

Bagi suku keempat, Bina Darulaman merekodkan lonjakan 140 peratus dalam keuntungan sebelum cukai sebanyak RM10.9 juta hasil daripada peningkatan 52.3 peratus perolehan kumpulan kepada RM139.9 juta.

Izham berkata, prestasi yang mengagumkan itu adalah hasil sumbangan daripada Bahagian Hartanah Kumpulan selepas perakuan jualan menyeluruh 323 unit hartanah kediaman di Darulaman Utama selain jualan tanah dalam pembangunan bersama.

"Ia merupakan keputusan sukuan terbaik Kumpulan itu setakat ini sejak disenarai di Bursa Malaysia pada Februari 1996," katanya.

Bagi tempoh suku dalam kajian, Bahagian Hartanah menyumbang RM88.7 juta kepada perolehan Kumpulan berbanding RM28.7 juta sebelumnya.


Bina Darulaman, Kedah, Izham Yusoff

Artikel Lain