suria

Ingress-Katayama Tubuhkan Kemudahan Pengeluaran, R&D Bernilai RM46 Juta

KUALA LUMPUR: Pengeluar komponen automotif, Ingress Corporation Bhd (ICB) telah menandatangani perjanjian usaha sama (JV) dengan Katayama Kogyo Co Ltd dari Jepun bagi menubuhkan kemudahan pengeluaran serta  pusat pembangunan dan penyelidikan (R&D).

Kemudahan dengan teknologi terkini itu akan terletak di kilang ICB di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Ia akan mereka bentuk, membangun dan mengeluarkan alat-alat ganti automotif bagi kegunaan syarikat-syarikat yang beroperasi di bawah ICB serta pengeksportan semula untuk operasi Katayama di Jepun dan antarabangsa.

Pemindahan teknologi dari Katayama kepada syarikat usaha sama itu, Ingress-Katayama Technical Centre Sdn Bhd (IKT), akan berjalan selama tiga tahun, kata ICB dalam kenyataan, Khamis.

"JV ini akan mewujudkan usaha sama yang lebih rapat antara kedua-dua syarikat dan kerjasama untuk menjadi lebih berdaya saing dalam pasaran antarabangsa.

"Peluang pekerjaan yang lebih banyak juga ada untuk rakyat Malaysia malah, syarikat-syarikat Malaysia yang lain akan mendapat limpahan melalui reka bentuk, prototaip dan fabrikasi jig, peralatan serta acuan untuk industri pengeluaran komponen automotif," katanya.

Katayama telah menjadi rakan kongsi perniagaan ICB selama lebih 23 tahun.

Sehingga sekarang, kerjasama itu telah mewujudkan kilang-kilang pengeluaran komponen automotif di Malaysia (1991), Thailand (1996), Indonesia (2001) dan India (2010) bagi membekalkan alat ganti dan komponen automotif kepada pengeluar peralatan tulen (OEM) termasuk Proton dan Perodua.

Kerjasama rapat ini membolehkan gabungan tersebut untuk berkembang di luar sempadan ASEAN.

Artikel Lain