Untung Sebelum Cukai AirAsia Menjunam Kepada RM22.7 Juta

Diterbitkan: Khamis, 26 Februari 2015 10:09 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai AirAsia Bhd pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 menjunam kepada RM22.7 juta berbanding RM361.23 juta pada 2013.

Pendapatan bagaimanapun meningkat kepada RM5.42 bilion berbanding RM5.11 bilion sebelum ini, kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

Pengendali syarikat penerbangan tambang murah itu dalam kenyataan berasingan berkata, kenaikan pendapatan itu disebabkan pertumbuhan dua digit dalam tambang purata dan pendapatan sampingan setiap penumpang yang meningkat 31 peratus tahun ke tahun. 

Syarikat itu, yang mempunyai 81 pesawat berpangkalan di Malaysia setakat akhir 2014 berkata, peningkatan signifikan dalam sumbangan perniagaan sampingan kepada pendapatan keseluruhan tahun ke tahun juga menyumbang kepada peningkatan signifikan dalam pendapatan purata tempat duduk sekilometer (RASK).

"Keuntungan operasi bersih turun sembilan peratus tahun ke tahun kepada RM109.8 juta disebabkan kos pembiayaan lebih tinggi berkaitan pinjaman bank ketika syarikat membeli lebih banyak pesawat dan pembiayaan ibu pejabat baharu AirAsia di klia2," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Aireen Omar berkata, pendapatan syarikat itu diukur di segi RASK, dilaporkan berada pada 15.95 sen, naik tujuh peratus tahun ketahun daripada 14.88 sen. 

"Saya gembira untuk menyatakan yang tambang purata naik 13 peratus pada suku keempat 2014 kepada RM171 yang menunjukkan pasaran lebih rasional dan pemulihan permintaan, yang pada awalnya terjejas berikutan insiden penerbangan dan kes penculikan di Sabah. 

"Perniagaan sampingan juga mencatat prestasi sangat baik berbanding tahun sebelumnya dengan kenaikan 31 peratus. 

"Ini membuktikan tidak seperti syarikat penerbangan lain, AirAsia mempunyai model yang teguh dan inovatif yang boleh menempuh sebarang keadaan.

"Perpindahan ke lapangan terbang baharu KLIA 2 dan kemudahan yang lebih besar membolehkan kami melaksanakan lebih banyak pemadanan bandar dan pada 2014 sahaja, kumpulan AirAsia mencatat 1.52 juta penumpang, meningkat 90 peratus tahun ke tahun," tambahnya. 

Aireen berkata, kos syarikat, diukur di segi kos purata tempat duduk sekilometer CASK), dilaporkan berada pada 13.51 sen, naik sembilan peratus tahun ke tahun, terutama disebabkan kenaikan dalam kos susut nilai dengan tambahan pesawat dimiliki AirAsia Bhd.

Thai AirAsia mencatat pendapatan 7.88 bilion baht (RM870.86 juta) pada suku keempat 2014, manakala Indonesia AirAsia mencatat peningkatan pendapatan tahun ke tahun 11 peratus kepada 1,731.63 bilion rupiah (RM48.25 bilion).

Mengenai prospek, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pada 2015 syarikat itu akan memberi tumpuan meningkatkan kedudukan tunai melalui pengurusan kapasiti dan merancang pembiayaan semula pesawat lebih lama (melalui jualan dan pajakan balik) di samping menjual pesawat vintaj dan slot. 

Tags / Kata Kunci: AirAsia

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Isnin, 14 Ogos 2017 12:30 PM

“Mira Filzah Lemah Lembut” - Zizan Razak

Kolumnis

iklan

Iklan