Agrobank Lancar Kad Bisnes Agro Visa Debit-i Malaysia Pertama

Diterbitkan: Rabu, 25 Februari 2015 12:12 PM

Noormadzliawati Azimah Madzalan menunjukkan Kad Agro Visa Debit-i selepas majlis pelancaran dan majlis Perhimpunan Bulanan MOA di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Rabu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Agrobank melancarkan Kad Agro Visa Debit-i untuk peruncit dan usahawan milikan tunggal yang membolehkan pelanggan mengakses simpanan di Agrobank secara elektronik melalui rangkaian Visa tempatan dan antarabangsa.

Dengan pelancaran kad ini, Agrobank adalah bank pertama di Malaysia dan Asia Pasifik yang memperkenalkan produk kad debit untuk usahawan berlandaskan prinsip Syariah.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kad debit itu mempunyai banyak faedah kerana ia tidak memerlukan bukti pendapatan dan tiada caj dikenakan untuk pembayaran lewat.

"Oleh itu, ia sesuai untuk semua lapisan masyarakat, terutama yang terlibat dalam industri pertanian serta langkah untuk menggalakkan penggunaan kad debit akan menyokong inisiatif kerajaan untuk mempromosikan gaya hidup tanpa tunai menjelang 2020 kerana pembayaran transaksi elektronik adalah lebih efisien, mudah dan selamat berbanding membawa wang tunai yang banyak," katanya.

Ismail Sabri melancarkan kad berkenaan ketika Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya.

Turut hadir Pengurus Visa International (Malaysia), Ng Kong Boon, Pengerusi Agrobank, Tan Sri Faizah Mohd Tahir dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.

Sementara itu, Wan Mohd Fadzmi pula berbangga dapat bekerjasama dengan Visa sebagai pembekal rangkaian kad global.

Menurutnya, dengan pengenalan Kad Agro Visa Debit-i, Agrobank berhasrat mewujudkan khidmat nilai tambahan untuk mempertingkatkan tawaran produk dalam memenuhi permintaan dan keperluan segmen pelanggan perusahaan kecil dan sederhana yang bertambah untuk kemudahan dan servis pembayaran yang lebih selamat.

"Pemegang akaun sedia ada yang mahu menukar kad ATM mereka kepada Kad Agro Visa Debit-i yang baharu boleh menukarkannya dengan percuma, tanpa sebarang caj penggantian kad.

"Agrobank komited dalam memperkenalkan produk inovatif baharu yang bersesuaian dengan warga tempatan untuk kekal berdaya saing, sejajar dengan perubahan industri kad pembayaran oleh Bank Negara Malaysia yang bakal mengubah sistem pembayaran negara dalam menyokong usaha menuju ke arah komuniti tanpa tunai," katanya.

Kad Agro Visa Debat-i untuk perniagaan akan memberi manfaat kepada pemegang kad yang sering menanggung perbelanjaan perniagaan kerana ia mengurangkan kesulitan membawa wang tunai dan penjimatan masa dalam penyelarasan perbelanjaan.

Selain itu, Kong Boon berkata, kad itu menyediakan fungsi e-Dagang untuk kemudahan pembelian atas talian, serta boleh digunakan untuk transaksi di lebih 30 juta rangkaian VISA seluruh dunia, sama ada pembelian langsung atau atas talian.

"Ia juga boleh digunakan untuk pengeluarkan wang tunai di dua juta mesin ATM di seluruh dunia," katanya.

Dalam sebulan selepas memperkenalkan kad ini, Agrobank telah mengeluarkan hampir 20,000 Kad Agro Visa Debit-i dan menyasarkan untuk mencapai satu juta pemegang kad debit dalam masa tiga tahun pertama.

Permohonan untuk kad itu boleh dilakukan di mana-mana cawangan Agrobank seluruh negara yang terdekat, atau untuk makluman lanjut boleh hubungi 1300-88-2476 (Agro).

Tags / Kata Kunci: Agrobank , Visa , kad debit

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan