suria

Brahim's Rancang Pelbagaikan Asas Pendapatan

KUALA LUMPUR: Walaupun Brahim's Holdings Bhd adalah pembekal utama makanan kepada Malaysia Airlines (MAS), pujian mesti diberikan kepada katerer dalam pesawat itu di atas usaha gigih untuk mempelbagaikan asas pendapatannya dalam jangka panjang.

Selain membekalkan makanan kepada 30 syarikat penerbangan lain serta pengambilalihan perniagaan Burger King di Malaysia dan Singapura, syarikat itu juga dalam proses membekalkan makanan halal kepada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ia memulakan usaha itu dengan menembusi Jepun melalui eksport produk makanan dan membentuk perikatan dengan gedung serbaneka tempatan bagi mempamerkan pelbagai jenis produk halalnya.

Jepun memang berminat menjadi negara yang mesra kepada orang Islam dengan menyediakan makanan halal secara meluas di Olimpik Tokyo, di mana Brahim's berada dalam kedudukan baik untuk menjadi rakan kongsi yang hebat.

Di sukan berkenaan, kira-kira 35 peratus daripada atlet dijangka terdiri daripada orang Islam.

Di Sukan Olimpik London pada 2012, terdapat lebih 3,000 atlet dan pegawai Islam menghadirinya.

Dengan kebanyakan pelancong Islam melawat Jepun ketika ini dari Malaysia dan Indonesia, Tokyo menyaksikan permintaan untuk makanan halal dan bilik sembahyang semakin meningkat.

Mereka yang menuduh Brahim's bergantung semata-mata kepada MAS, tidak boleh mengetepikan hakikat yang syarikat itu juga menjadi katerer makanan utama kepada tentera Jordan dengan membekalkan 500,000 pek catuan.

Kerjasama dengan tentera Jordan juga membuka ruang kepada peranan lebih meluas di dunia Arab.

Ini terbukti dengan kontrak membekalkan minimum 10 hingga 12 juta hidangan makanan kepada jemaah di Makkah menjelang 2016.

Malah syarikat itu telah melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan mesin membasuh pinggan mangkuk istimewa yang menggabungkan samak atau penyucian peralatan memasak mengikut kaedah Islam. Ia juga menawarkan 'kepakaran' ini kepada 30 syarikat penerbangan rakan kongsi perniagaannya.

Baru-baru ini, Brahim's memetrai memorandum persefahaman untuk memiliki ekuiti utama dalam pusat penyembelihan di Australia bagi membekalkan daging lembu halal.

Pembabitan Brahim's di Jepun adalah penting kerana ia adalah pasaran besar yang berpotensi, terutama dengan Sukan Olimpik yang akan datang, yang akan menjadi tapak pelancaran kepada penembusan Brahim's ke negara berkenaan secara ketara.

Pengambilalihan 54 outlet Burger King di Malaysia dan 41 di Singapura dijangka menyumbang RM300 juta kepada perolehan tahunan dan sekali lagi mengukuhkan semangat untuk tidak bergantung kepada MAS.

Dengan mengambil kira semua langkah terbabit, tidak diragukan lagi yang Brahim's bergerak ke arah yang betul, untuk muncul sebagai pembekal hidangan halal global dan sehubungan itu mengukuhkan peranan strategik Malaysia dalam pasaran halal global.

Apabila semua ini berhasil, kebergantungan syarikat itu kepada MAS di segi pendapatan akan berkurangan kepada hanya 50 peratus dan menafikan tuduhan yang ia menyebabkan kerugian MAS.

Brahim's

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain