suria

1MDB Beroperasi Seiring Matlamatnya

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) beroperasi seiring dengan matlamatnya, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata 1MDB ditubuhkan dengan matlamat jelas iaitu melabur dan membangun projek dalam bentuk jangka panjang yang mempunyai kepentingan strategik kepada ekonomi, dengan sasaran menjana kewangan dan kejayaan pada masa depan.

"Selepas berjaya menggabungkan sektor tenaga dan menjadi pengeluar tenaga bebas kedua terbesar di Malaysia serta meletakkan asas untuk pembangunan Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia, dua projek yang akan mengubah rakyat dan ekonomi negara, syarikat ini adalah seiring dengan objektifnya," kata Ahmad Husni dalam kenyataan.

Pada 18 Feb, 1MDB mengumumkan hasil semakan semula strategik yang dilaksana pada Januari bahawa perniagaannya membolehkan syarikat memaksimumkan nilai untuk Kementerian Kewangan dan pada akhirnya rakyat Malaysia.

Ahmad Husni berkata setiap projek mempunyai strategi jelas dari segi penjanaan kewangan dan struktur tadbir urus yang akan memastikan kejayaan pada masa depan.

Selain itu katanya, adalah amat penting bagi 1MDB menumpukan kepada usaha mempertingkat kewangannya bagi memastikan penghasilan nilai maksimum kepada ekonomi.

Dalam pelaksanaan semakan semula strategik itu, 1MDB berkata ia menyedari matlamat dan misinya untuk menjadi pelaksana strategik idea dan sumber baharu pertumbuhan serta memacu ke arah pembangunan ekonomi yang mampan di Malaysia.

1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Lain