suria

1MDB Merumuskan Kajian Strategik

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mengumumkan hasil kajian strategik perniagaannya yang bermula Januari bagi membolehkan syarikat memaksimumkan nilai untuk Kementerian Kewangan dan terutama kepada rakyat Malaysia.

Dalam mengendalikan kajian strategik, 1MDB berkata syarikat itu menyedari misi dan visinya: untuk menjadi pemangkin strategik bagi idea dan sumber pertumbuhan baharu, dan untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan di Malaysia.

"Tujuan 1MDB adalah sebagai pemangkin, membangunkan aset dan projek berkepentingan strategik, dengan tujuan mewujudkan nilai maksimum untuk ekonomi," kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda, yang mengetuai kajian itu, dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, pencapaian itu termasuk penggabungan aset tenaga berasingannya di bawah Edra Energy dengan kumpulan dan lembaga pengurusan bersama; mewujudkan platform untuk membangunkan Bursa Tun Razak (TRX) sebagai pusat kewangan; dan kejayaan membentuk pelan induk pembangunan Bandar Malaysia.

"Setelah mencapai ini, 1MDB tidak akan menjalankan mana-mana pelaburan atau projek baharu dan kami merangka strategi yang jelas bagi setiap perniagaan sedia ada yang berkembang," kata Arul.

Beliau berkata telah tiba masanya untuk menubuhkan TRX dan Bandar Malaysia sebagai syarikat yang diuruskan secara bebas, dengan autonomi dan tanggungjawab penuh terhadap prestasi operasi dan kewangan mereka seperti yang dicapai bersama-sama Edra Energy.

"Ini adalah kaedah terbaik untuk merealisasikan nilai tinggi daripada pelaburan berkenaan untuk kesemua pihak berkepentingan.

"Walaupun pilihan sedang dijalankan berhubung penjanaan wang Edra Energy, pemilikan aset hartanah kami juga perlu akhirnya kekal dengan pemegang saham 100 peratus kami, iaitu Kementerian Kewangan," katanya.

Projek-projek ini penting kepada pembangunan sosio-ekonomi negara secara am dan khususnya Kuala Lumpur, dengan TRX dan Bandar Malaysia dijangka masing-masing menjana, sepanjang masa, nilai pembangunan kasar RM40 bilion dan RM150 bilion, kata beliau.

"Pemilikan berterusan oleh kerajaan akan memastikan nilai berkenaan pada akhirnya memberi manfaat kepada rakyat," kata Arul.

Kenyataan itu juga memaklumkan Edra Energy, yang akan menumpukan projek teras sedia ada, akan menjana wang pada 2015 dengan sebahagian untuk dilabur  dalam perniagaan pertumbuhan masa depan dan bakinya digunakan untuk membayar semula hutang jangka pendek 1MDB.

Arul berkata, 1MDB mengakui struktur modal membiayai hutangnya kini tidak sesuai kepada syarikat, dan ia berhasrat mengambil pendekatan untuk memastikan 1MDB dan entiti kendiri berada pada kedudukan yang kukuh bagi pembayaran hutang dan obligasi prasarana.

"Terdapat keperluan bagi padanan secara langsung aset dan aliran tunai yang lebih banyak," katanya.

Beliau menyatakan TRX dan Bandar Malaysia akan menjual hak pembangunan tanah atau mewujudkan usahasama perkongsian keuntungan, termasuk dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta syarikat sektor swasta tempatan dan antarabangsa yang mampu menyumbang bukan sahaja kepakaran pembangunan malah ekuiti dan hutang bagi membiayai projek khusus.

"Kita menjangkakan akan melaksana pelan ini dalam tempoh 12 bulan akan datang, dan akan menyediakan kemaskini berkala mengenai kemajuan kami," kata Arul.

Mengenai pembangunan lain, tanah Air Itam dan Pulau Indah akan menjana wang melalui usahasama atau jualan muktamad, menurut kenyataan itu.

1MDB, Arul Kanda, Edra Energy

Artikel Berikut

Artikel Lain