suria

Kastam Lancar Ops GST Mulai 1 Mac Depan

PUTRAJAYA: Satu operasi khas dikenali sebagai 'Ops GST' akan dilancar serentak di seluruh negara mulai 1 Mac depan untuk menjejaki pihak yang masih gagal berdaftar dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada atau sebelum 28 Februari ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, Ops GST yang melibatkan seramai 5,000 pegawai dan anggota itu akan beroperasi 24 jam sehari.

"Satu perintah operasi telah dikeluarkan sebagai garis panduan untuk pegawai dan anggota yang terlibat supaya nanti tiada orang yang akan menyamar sebagai pegawai atau anggota kastam," katanya dalam sidang media khas mengenai GST di sini, Selasa.

Beliau berkata, sepanjang tempoh operasi, mana-mana pihak yang didapati gagal berdaftar di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta GST 2014) selepas 1 Mac akan didaftarkan secara paksaan dan tindakan kompaun sebanyak RM15,000 akan dikenakan.

"Selepas keluarkan kompaun kita akan akan bagi tempoh dua minggu untuk mereka respons dan selepas itu bagi lagi dua minggu. Selepas satu bulan (empat minggu) kita akan ambil tindakan mahkamah," katanya.

Katanya, sepanjang menjalankan operasi tersebut, pegawai dan anggota yang terlibat akan turut lengkap dengan kemudahan jalur lebar untuk membantu pihak yang berkenaan mendaftar dengan GST.

Beliau berkata, hasil semakan antara agensi, pihaknya mendapati masih terdapat 62,709 perniagaan yang dikenal pasti belum berdaftar GST walaupun melebihi nilai perbekalan bercukai sebanyak RM500,000.

Katanya, perniagaan yang belum berdaftar itu meliputi 17 sektor utama iaitu pertanian, perhutanan dan perikanan (2,778); perlombongan, kuari dan petroleum (227); pembuatan (3,722); elektrik, gas, bekalan pendingin hawa dan stim (897); bekalan air, pembetungan, pengurusan sisa dan aktiviti pemulihan (257); hartanah dan pembinaan (10,240).

Sektor lain perdagangan borong dan runcit (26,262); automotif (1,719); pengangkutan dan penyimpanan (3,025); penginapan, aktiviti perkhidmatan dan hospitaliti (3,461) serta maklumat dan komunikasi (965).

Kewangan dan insurans/aktiviti takaful (2,027); profesional, saintifik dan aktiviti teknikal (3,887); kelab, masyarakat, badan bukan kerajaan dan organisasi yang serupa serta pihak berkuasa tempatan (216); pendidikan (896); kesihatan (2,408) serta permainan termasuk aktiviti sukan dan hiburan dan aktiviti rekreasi, turut tersenarai sebagai sektor utama.

Khazali berkata, Jabatan Kastam telah menghantar peringatan kepada semua pihak berkenaan dengan menggunakan Pemberitahuan Penerimaan (AR) agar segera mendaftar dengan GST selewat-lewatnya 28 Februari ini atau berdepan tindakan.

Tambahnya berbaki 46 hari lagi sebelum GST dilaksanakan pada 1 April depan, sebanyak 316,001 perniagaan yang layak telah mendaftar di bawah Akta GST 2014 sehingga semalam (16 Februari).

"Ini menunjukkan penerimaan positif oleh peniaga-peniaga terhadap sistem percukaian ini," katanya.

Selain itu Khazali berkata seseorang ahli lembaga yang menawarkan perkhidmatan secara kontrak perkhidmatan dalam sesebuah syarikat dan memperoleh pendapatan sebanyak RM500,000 setahun juga layak dikenakan GST sebanyak enam peratus.

Katanya, GST yang dikenakan kepada ahli lembaga pengarah selaras dengan Seksyen 3 (1) Akta GST 2014 yang mentakrifkan bahawa perniagaan adalah merangkumi aktiviti perdagangan, jual beli, profesion atau sebarang aktiviti seumpamanya sama ada bersifat keuntungan kewangan atau tidak.

"Ada individu di Malaysia yang menjadikan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah sebagai pendapatan utama dan memperoleh lebih daripada RM500,000 setahun.

"Tetapi, sekiranya pelatikan sebagai pengarah itu disebabkan jawatan yang disandang (jawatan semasa) maka ia tidak tertakluk kepada GST. Ahli lembaga pengarah dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) juga terkecuali daripada CBP," jelas Khazali.

Ops GST, Khazali Ahmad, GLC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain