suria

Jualan Kenderaan Naik 1 Peratus kepada 50,602 Unit Pada Januari - MAA

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kenderaan pada Januari naik hanya satu peratus atau 329 unit kepada 50,602 unit berbanding 50,273 unit dicatatkan pada bulan sama tahun lepas, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Bagaimanapun, jumlah jualan bagi bulan tersebut turun 22 peratus berbanding bulan sebelumnya berikutan tawaran hujung tahun yang diberikan oleh syarikat-syarikat kereta pada Disember 2014.

"Pengumuman bahawa harga kereta akan turun apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan telah menyebabkan pelanggan menangguhkan pembelian," kata MAA dalam kenyataan di sini, Selasa.

Jualan kenderaan penumpang pada Januari turun kepada 44,697 unit berbanding 44,702 unit pada bulan sama tahun lepas.

Manakala, jualan kenderaan komersil naik kepada 5,905 unit berbanding 5,571 unit pada Januari tahun lepas.

Sementara itu, jumlah pengeluaran kenderaan meningkat kepada 56,654 unit pada Januari berbanding 55,503 unit dicatatkan pada bulan sama tahun lepas.

Pengeluaran kenderaan penumpang berkembang kepada 52,387 unit berbanding 50,874 unit.

Bagaimanapun, pengeluaran kenderaan komersil jatuh kepada 4,267 unit berbanding 4,629 unit.

Mengenai prospek, MAA berkata jumlah jualan pada Februari dijangka rendah berbanding Januari susulan tempoh bekerja yang pendek disebabkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

MAA, GST, kenderaan

Artikel Lain